Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel gara-gara sebar video seks dengan temanita kepada sepupu mangsa

Setelah bergaduh dengan teman wanitanya tentang isu wang dan hubungan, seorang lelaki mengirimkan video aksi seks mereka kepada sepupu mangsa, dengan niat memaksa wanita itu supaya berkomunikasi dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel gara-gara sebar video seks dengan temanita kepada sepupu mangsa

Gambar telefon bimbit. (Gambar: Negative Space/Pexels)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 09:06PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 09:23PM

SINGAPURA: Setelah bergaduh dengan teman wanitanya tentang isu wang dan hubungan, seorang lelaki mengirimkan video aksi seks mereka kepada sepupu mangsa, dengan niat memaksa wanita itu supaya berkomunikasi dengannya.

Nama lelaki berusia 31 tahun itu tidak boleh didedahkan untuk melindungi identiti mangsa. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 minggu hari ini (9 Dis).

Dia mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebarkan rakaman intim, dengan tuduhan kedua diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah dimaklumkan pasangan ini mula bercinta pada 2018, namun hubungan mereka menjadi tidak stabil pada September tahun ini.

Semasa bersama, lelaki tersebut menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam aksi seks mereka. Perbuatan itu diketahui dan dibenarkan oleh mangsa.

Apabila mangsa menyuruh tertuduh memadamkan rakaman tersebut, tertuduh berpura-pura melakukannya.

Sekitar 20 September, pasangan itu mula bergaduh tentang hubungan mereka dan masalah wang. Akibatnya, mangsa menyekat wadah berkomunikasi menerusi WhatsApp dengan tertuduh.

Enam hari kemudian, tertuduh menghantar video tersebut kepada sepupu mangsa.

Walaupun video yang disebarkan itu akan memalukan mangsa, tertuduh berasa terdesak disebabkan keinginnya untuk bercakap dengan mangsa.

Tertuduh juga mengancam untuk menyebarkan lagi video tersebut sehingga 'viral' jika mangsa tidak menghubunginya.

Mangsa membuat laporan polis keesokan harinya berhubung video yang disebarkan tanpa kebenarannya.

Peguam bela, Sunil Sudheesan, berkata video itu dihantarkan kepada sepupu mangsa dan kemungkinan sepupu itu menyebarkan video tersebut amat rendah.

Beliau juga berkata tertuduh berasa terdesak untuk bercakap dengan mangsa dan berasa amat marah dan sedih terhadap mangsa, yang didakwa sudah mempunyai kekasih baru, menurut Encik Sudheesan.

Hakim daerah Marvin Bay berkata terdapat "kesilapan besar pecah amanah yang berlaku, yang mana mangsa membenarkan rakaman video tersebut, sedang dirinya dalam keadaan telanjang kerana dia dan tertuduh masih bercinta, pada waktu itu".

Bukan sahaja tertuduh gagal memadamkan video seperti yang diminta, tetapi dia juga berbohong bahawa dia sudah melakukannya namun kemudian mengirimkan video tersebut kepada sepupu mangsa setelah mereka berpisah, kata Hakim Bay.

Meskipun hakim memahami bahawa tertuduh sedang marah dan dia melakukan jenayah itu "dengan niat salah untuk memelihara hubungannya (dengan mangsa)", hakim berkata apa yang dilakukan tertuduh adalah "tidak wajar".

"Ia satu kesalahan besar dan tidak wajar untuk menggunakan video intim yang dirakam dalam keadaan terdedah sebagai cara untuk meneruskan hubungan yang gagal," kata Hakim Bay.

Bagi kesalahan sengaja menyebar rakaman intim, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, dikenakan sebatan rotan atau mana-mana gabungan denda tersebut.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan