Lelaki dijel gara-gara cuai buang puntung rokok, cetuskan kebakaran di ibu pejabat polis
Seorang pekerja tukang baik pulih alat hawa dingin dipenjara 10 hari pada Khamis (22 Jul) kerana berkelakuan cuai sehingga menyebabkan kebakaran di sebuah ibu pejabat divisyen polis.
SINGAPURA: Seorang pekerja tukang baik pulih alat hawa dingin dipenjara 10 hari pada Khamis (22 Jul) kerana berkelakuan cuai sehingga menyebabkan kebakaran di sebuah ibu pejabat divisyen polis.
Dia membuang sepuntung rokok di kawasan berisi sampah.
Kebakaran itu menyebabkan kerosakan pada tembok, siling, lantai dan peralatan alat hawa dingin. Kerja-kerja pembaikan menelan kos lebih S$5,310.
Warga India, Ganesan Shanmugam, 30 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan cuai menyebabkan kebakaran dengan membuang sepuntung rokok yang belum lagi dipadamkan apinya.
Mahkamah diberitahu Shanmugam dikerahkan untuk melakukan kerja-kerja penyenggaraan syif malam di Ibu Pejabat Divisyen Polis Ang Mo Kio dengan seorang rakan sekerja.
Ketika berada di aras bawah bersebelahan bilik suis utama, dia mahu merokok. Ia agak sulit baginya untuk keluar merokok kerana hujan lebat pada waktu itu. Maka itu, dia memutuskan untuk merokok di luar bilik suis utama, menurut pendakwa.
Sekitar pukul 11.45 malam, dia selesai merokok dan membuang puntung rokok itu di satu kawasan yang dipenuhi sampah termasuk kotak-kotak kadbod yang dibuang.
Dia menyangka puntung rokok itu sudahpun dipadamkan dan tidak memeriksa sama ada ia benar-benar sudah mati.
Shanmugam kemudian menyertai rakan sekerja untuk berehat di sebuah bilik stor berhampiran namun sekitar 20 minit kemudian, rakan sekerjanya menyedari bahawa terdapat kebakaran yang berlaku berdekatan mereka.
Mereka kembali ke kawasan di mana Shanmugam merokok dan ternampak kebakaran. Kedua-dua pekerja itu mengambil alat pemadam api dan memadamkan api sebelum membersihkan kawasan tersebut.
Seorang pegawai polis yang sedang bertugas juga terhidu sesuatu terbakar. Tidak lama kemudian, kedua-dua polis dan anggota bomba tiba di lokasi. Punca kebakaran dikesan berlaku daripada Shanmugam yang tidak mempertikaikan bahawa dia memang membuang puntung rokok tersebut.
Akibat kebakaran itu, tembok, siling, lantai dan peralatan alat hawa dingin menjadi rosak. Ia menelan belanja S$5313.17 untuk memperbaiki semua kerosakan itu, yang ditanggung oleh syarikat ST Synthesis, sebuah cabang perkhidmatan ST Engineering.
Pendakwa meminta hukuman penjara dua hingga tiga minggu sambil berkata bahawa Shanmugam berasa kesal atas perbuatannya.
Shanmugam, yang tidak diwakili peguam dan kelihatan agak gementar, memberitahu hakim bahawa gaji bulanannya hanya S$800 dan dia tidak pasti jika dia boleh membayar sebarang denda.
Shanmugam berkata dia sakit leher kerana perlu terus mendongak untuk membaiki sistem alat hawa dingin. Dia menambah akibat insiden itu, dia berada di bawah banyak tekanan.
Dia mengatakan melalui seorang jurubahasa bahawa mungkin lebih baik baginya untuk pulang ke negara asal dan dia tidak sengaja menyebabkan kebakaran itu. Namun, melakukannya kerana cuai dan mengaku berasa kesal.
Hakim menerima permintaan Shanmugam untuk menangguhkan hukuman penjara yang akan mula dijalaninya pada Isnin (26 Jul).
Bagi kesalahan tindakan cuai sehingga menyebabkan kebakaran, dia boleh dipenjara sehingga 18 bulan dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.