Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel & denda; beri kawan pedang samurai untuk gertak pekerja kedai runcit

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel & denda; beri kawan pedang samurai untuk gertak pekerja kedai runcit

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

Diterbitkan : 26 Mar 2022 08:56AM Dikemas Kini : 26 Mar 2022 08:57AM

SINGAPURA: Apabila seorang pekerja di kedai runcit enggan menjual minuman keras kepadanya, Johanizam Johari bertindak dengan bergaduh dengan lelaki itu di luar kedai.

Johanizam kemudian pulang ke rumah untuk mengambil pedang samurai yang dibelinya di wadah e-dagang Carousell. Dia kemudian memberi pedang itu kepada rakannya, Muhammad Faiz Hamzah untuk menggertak pekerja kedai runcit itu.

Namun, ia tidak berhasil apabila pekerja itu mengejar Faiz dengan payung.

Pada Isnin (21 Mac), Johanizam Johari, 29 tahun
dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda S$600.

Warga Singapura itu juga mengaku atas satu tuduhan bergaduh di tempat awam dan memiliki senjata serangan.

Dia akan mula menjalani hukumannya pada 28 Mac dan kini masih bebas dengan ikat jamin.

Mahkamah diberitahu bahawa Faiz, 31 tahun, telah pergi ke kedai runcit di Blok 301 Serangoon Avenue 2 pada 18 Oktober tahun lalu pada sekitar 10.20 malam.

Mereka cuba untuk membeli minuman keras tetapi Johanizam tidak membawa kad pengenalannya apabila diminta pekerja di kedai runcit itu, Gu Desheng, 41 tahun.

Johanizam menyuruh Faiz membeli minuman keras untuknya namun ditolak Gu.

Johanizam dan Gu kemudian bergaduh, dengan orang di sekeliling cuba meleraikan pergaduhan itu
yang dirakamkan CCTV kedai tersebut.

Johanizam pulang ke flatnya untuk mengambil pedang samurai dengan bilah sepanjang 70 sentimeter. Dia memberi
Faiz pedang itu dan mereka pergi semula ke kedai runcit itu.

Faiz mengambil pedang itu dengan niat untuk menggertak Gu. Namun, Gu sebaliknya mengambil payung dan mengejar mereka.

Faiz menyembunyikan pedang itu di belakang beberapa paip di blok berdekatan manakala Johanizam pergi ke blok lain untuk minum bersama rakannya.

Seorang anggota masyarakat kemudian membuat laporan polis. Apabila pegawai polis tiba di tempat kejadian dan bercakap dengan Johanizam, dia memberitahu mereka bahawa Faiz sudah melarikan diri.

Laporan daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menunjukkan bahawa sampel darah Johanizam mengandungi 88 miligram ethanol bagi setiap 100 mililiter darah.

Gu didenda S$600 awal bulan ini selepas didapati bersalah bergaduh di tempat awam. Faiz pula didakwa atas kejadian itu dan akan mengaku bersalah bulan depan.

Sesiapa yang didapati bersalah di bawah Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata serangan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mereka yang bergaduh di tempat awam boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan