Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel aniaya anak teman wanita gara-gara marah tidak dapat saksikan kelahiran bayinya

Gara-gara marah kerana tidak dapat menyaksikan kelahiran bayinya, seorang lelaki menumbuk pipi anak perempuan teman wanitanya sebanyak tiga kali dan menampar muka kanak-kanak berusia tiga tahun itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel aniaya anak teman wanita gara-gara marah tidak dapat saksikan kelahiran bayinya

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 05:53PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 05:59PM

SINGAPURA: Gara-gara marah kerana tidak dapat menyaksikan kelahiran bayinya, seorang lelaki menumbuk pipi anak perempuan teman wanitanya sebanyak tiga kali dan menampar muka kanak-kanak berusia tiga tahun itu.

Lelaki berusia 25 tahun itu dihukum penjara selama 10 bulan hari ini (10 Dis). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut, dengan lagi dua tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah mengeluarkan perintah melarang identiti mangsa daripada didedahkan dan nama tertuduh dipadamkan daripada dokumen-dokumen mahkamah.

Mahkamah dimaklumkan bahawa ibu mangsa, 23 tahun, menjalin hubungan dengan tertuduh. Semasa kesalahan itu dilakukan, ibu mangsa sedang mengandungkan anak tertuduh.

Mangsa berusia tiga tahun pada waktu kejadian. Kanak-kanak itu mengalami perkembangan mental dan pertuturan yang lembab, menurut pendakwa.

Tertuduh mula tinggal dengan mangsa dan ibunya sejak Februari 2019 dan memainkan peranan sebagai penjaga kanak-kanak itu.

Sekitar pukul 3.00 pagi pada 22 Februari tahun lalu, ibu mangsa mengalami sakit hendak bersalin. Mengikuti peraturan hospital yang hanya membenarkan satu individu untuk meneman pesakit, tertuduh terpaksa mencari seseorang untuk menjaga mangsa sebelum bergerak ke hospital.

Tertuduh membawa mangsa untuk mencari nenek kanak-kanak itu. Sekitar pukul 5.30 pagi pada 22 Februari 2020, dalam perjalanan ke flat neneknya, mangsa mula menangis.

Mahkamah diberitahu, tertuduh yang sedang berasa marah kerana tidak dapat menyaksikan kelahiran anaknya di hospital, semakin berang apabila mangsa menangis.

Tertuduh kemudian menumbuk pipi mangsa tiga kali dan menampar mukanya sehingga dia berhenti menangis. Selepas itu, tertuduh meninggalkan mangsa di rumah neneknya sebelum menuju ke hospital.

Nenek mangsa membawanya ke bilik tidur lalu sambung tidur. Namun, apabila beliau bangun pada keesokan hari, beliau ternampak lebam-lebam pada badan, tangan dan kaki mangsa.

Beliau kemudian menelefon sanak-saudaranya untuk memberitahu mereka tentang lebam-lebam tersebut. Apabila mangsa bangun dari tidur dan ditanya tentang lebam-lebam itu, mangsa berkata: "Ayah, ibu."

Nenek mangsa memutuskan untuk membuat aduan polis selepas berbincang dengan sanak-saudaranya. Salah seorang anggota keluarga, iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun, sudah dua kali melihat tertuduh memukul mangsa.

Selepas aduan polis dibuat, mangsa tidak lagi di bawah jagaan ibunya dan tertuduh. Mangsa tinggal dengan saudaranya, dengan langkah-langkah keselamatan ditetapkan untuk melindung kanak-kanak perempuan itu apabila ibunya datang menziarahi.

Atas permintaan mangsa dan ibunya, mangsa pulang ke pangkuan ibunya dan tertuduh pada Jun 2020. Langkah-langkah keselamatan itu, termasuk lawatan ke rumah tanpa pengumuman lebih awal oleh pihak berkuasa yang relevan, ditetapkan untuk menjaga keselamatan mangsa dan memudahkan penyatuan semula mangsa dan keluarganya.

Pendakwa meminta agar tertuduh dipenjarakan selama 10 hingga 12 bulan, atas kesalahan melepaskan kemarahannya kepada mangsa kerana tidak dapat menjadi saksi semasa anaknya dilahirkan.

Tertuduh diberikan kepercayaan untuk menjaga kanak-kanak perempuan itu, tetapi sebaliknya, menganiaya mangsa.

Tertuduh mengemukakan rayuan, sambil berkata dia sekarang mempunyai isteri dan tiga orang anak, termasuk mangsa, untuk disara.

Hakim menyuarakan keprihatinannya terhadap kes tersebut dan bertanya sama ada tertuduh akan berusaha untuk memastikan perkara seperti itu tidak akan terjadi lagi selepas dibebaskan.

Tertuduh berkata dia akan berusaha, sambil menambah bahawa dia bersedia untuk menghadiri sesi kaunseling untuk mengawal kemarahannya.

Jika disabit kesalahan mendera seorang kanak-kanak, dia boleh dipenjara selama lapan tahun, didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/NY/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan