Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel; ancam pembantu gerai makan dengan parang kerana tidak jawab panggilan

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel; ancam pembantu gerai makan dengan parang kerana tidak jawab panggilan

Gambar hiasan seorang lelaki memegang pisau. (Gambar fail: AFP)

SINGAPURA: Seorang lelaki dihukum penjara selama sembilan minggu pada Khamis (10 Feb) kerana mengancam seorang pembantu gerai mi bebola ikan dengan sebilah parang selepas tidak menjawab panggilannya, serta menyepak muka seorang pemilik gerai ban mian. 

Abraham Lim Chew Poh yang berusia 65 tahun mengaku bersalah atas satu tuduhan dengan sengaja mencederakan dan satu lagi tuduhan jenayah memeras ugut, dengan tuduhan ketiga yang dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman. 

Mahkamah dimaklumkan bahawa Lim mula melanggani pusat makan di Blok 183, Toa Payoh Central, sejak 2019. 

Lim mula menyukai seorang wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pembantu di gerai mi bebola ikan. Dia memanggilnya "Ah Mei" dan melayaninya "seperti adik perempuannya," menurut mahkamah. 

Lim, seorang pekerja pembersihan, kerap melanggani gerai mi bebola ikan itu dan membeli makanan untuk wanita tersebut, meskipun wanita itu sudah memberitahunya untuk tidak berbuat sedemikian. 

Lim kemudian berjaya mendapat nombor telefon wanita itu dan mula menelefon dan menghantar mesej kepadanya beberapa kali. Apabila wanita itu tidak menjawab panggilannya, Lim berasa tersinggung. 

Sekitar pukul 3.00 petang pada 10 Oktober 2020, Lim minum tiga hingga lima botol arak di pusat makan tersebut dengan seorang lagi individu. Lim kemudian pergi ke kedai berhampiran dan membeli sebilah parang. Parang itu bersaiz seperti botol cecair pembasmi kuman tangan 500 mililiter, menurut dokumen mahkamah. 

Apabila dia kembali ke pusat makan berkenaan sekitar pukul 7.00 malam, Lim mendapati botol-botol araknya sudah dibuang dan menjadi berang. 

Dia mengoyakkan balutan parang itu dan menuju ke arah gerai mi tersebut, di mana wanita berkenaan sedang menyiapkan mi.

Lim yang begitu marah kerana wanita itu tidak lagi menjawab panggilan telefonnya, menghalakan parang tersebut ke arahn wanita tersebut dan berkata dalam bahasa Mandarin: "Ah Mei, ini untuk kau." 

Kemudian, Lim meninggalkan pusat makan tersebut dan membuang parang itu kerana berasa "malu dengan apa yang sudah dilakukannya". 

Lim diberikan amaran bersyarat atas kesalahan itu pada Disember 2020, namun mengulangi kesalahannya sekali lagi. 

TUMBUK PEMILIK GERAI BAN MIAN

Pada 14 Februari 2021, Lim meminum arak seorang diri di pusat makan yang sama pada pukul 6.00 petang sehingga kira-kira pukul 9.00 malam. 

Selepas menghabiskan tiga botol arak, Lim bangun untuk pulang ke rumah sebelum ternampak pemilik gerai ban mian, yang terletak bersebelahan dengan gerai mi bebola ikan. 

Lim kemudian berjalan ke arah mangsa dan memberitahunya bahawa dia "bukan seorang lelaki". Mangsa itu tidak menghiraukan Lim dan terus makan, namun Lim berjalan ke arahnya lagi dan menampar mukanya. 

Isteri mangsa menghubungi pihak polis. 

Lim kemudian mengaku bahawa dia menyimpan rasa dendam terhadap pemilik gerai ban mian itu sejak insiden parang, yang turut disaksikan mangsa. 

Pihak pendakwa meminta supaya Lim dipenjara sekurang-kurangnya dua bulan, sambil menambah bahawa Lim melanggar syarat-syarat amaran yang dikenakan terhadapnya, hanya dua bulan selepas menerima amaran tersebut. 

Lim juga pernah didakwa beberapa kali sejak 1979 hingga 2013, atas kesalahan-kesalahan termasuk rompakan bersenjata dan peras ugut, menurut mahkamah. 

Jika sabit kesalahan, Lim boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali. Atas kesalahan peras ugut, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan