Lelaki dijel ambil gambar dari bawah skirt wanita di pusat beli-belah Jurong

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 14 minggu pada Jumaat (13 Mei) kerana mengambil gambar dari bawah skirt wanita di pusat beli-belah di Jurong selama dua tahun.
Ho Li Yang, 29, mengaku bersalah atas dua tuduhan kerana menghina kehormatan seorang wanita.
Satu lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Tertuduh cuba mengambil gambar tersebut dengan telefon bimbitnya dalam sebuah kedai di Jem pada 8 Mei 2021.
Apabila diberitahu kelakuannya dirakam CCTV, Ho mengaku kesalahannya.
Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada polis.
Pihak polis merampas komputer riba Ho pada malam itu dan terdapat 15 rakaman video yang menunjukkan 10 wanita dalam peranti tersebut.
Tertuduh mengaku merakam video-video itu melalui telefon bimbitnya di pusat beli-belah di Jurong tanpa pengetahuan wanita-wanita berkenaan. Dia juga tidak mengenali mereka.
Pihak pendakwaan meminta hukuman penjara itu dengan menekankan bahawa Ho meneruskan corak kesalahan sama selama setahun dan berbilang mangsa menjadi sasarannya.
Hukuman bagi kesalahan menghina kehormatan seorang wanita ialah penjara sehingga dua tahun, didenda, dikenakan sebatan rotan atau gabungan mana-mana hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.