Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 7 minggu; tolak MC, pergi kerja & pusat penjaja meski bergejala selesema

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 7 minggu; tolak MC, pergi kerja & pusat penjaja meski bergejala selesema

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 24 Mar 2022 09:02PM Dikemas Kini : 24 Mar 2022 09:02PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mengalami simptom-simptom yang mirip seperti demam selesema enggan menerima sijil perubatan (MC). Sebaliknya, dia masih pergi kerja dan melanggani pusat penjaja serta sebuah pusat beli-belah semasa pandemik COVID-19. 

Zac Leow Zhi Xiang yang berusia 35 tahun memberitahu doktor bahawa dia tidak boleh mengambil cuti sakit kerana baru saja memulakan pekerjaan baru dan masih dalam tempoh probesen. 

Leow pada Khamis (24 Mac) dikenakan hukuman penjara selama tujuh minggu selepas mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit. 

Leow yang terbatuk-batuk berjumpa dengan doktor pada tengah hari 27 Mac 2020, menurut dokumen mahkamah. 

Dia didiagnosis dengan demam dan simptom-simptom yang berkaitan dengan jangkitan trakus pernafasan atas. Dia tidak diuji untuk COVID-19. 

Doktor memberitahu Leow bahawa beliau akan memberikannya MC selama lima hari dan Leow tidak boleh keluar rumah sepanjang tempoh tersebut. 

Leow meninggalkan klinik tersebut sebelum MC diberikan kepadanya, walaupun dia mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa dia mungkin sudah dijangkiti COVID-19, mahkamah diberitahu. 

Dia menghabiskan sembilan jam di luar pada hari tersebut, melanggani Pasar ABC Brickworks, Blok 216 Bedok North Street 1, Jem dan Blok 692A Jurong West Central 1. 

Leow meninggalkan rumahnya lagi, kali ini setiap hari dari 28 hingga 31 Mac 2020, sebahagian daripada tempoh di mana dia dikehendaki duduk di rumah.

Sepanjang hujung minggu pada 28 dan 29 Mac 2020, Leow pergi ke Pasar dan Pusat Makanan Boon Lay Place dan Yuhua Place, dan lokasi di Jurong West Central 1 sekali lagi. 

Leow pergi kerja di Alexandra Technopark pada 30 dan 31 Mac 2020 dan berada di sana selama lebih 11 jam setiap hari. 

Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh berkata tindakan Leow boleh menimbulkan risiko kepada orang awam dan dia bertindak "tanpa mengendahkan sama sekali" bahawa dia mempunyai simptom-simptom yang boleh menimbulkan keprihatinan. 

Leow mengunjungi tempat-tempat sesak dan tempoh dia berada di luar juga agak panjang, menurut pendakwa raya. 

Encik Koh turut menarik perhatian bahawa selain sebab-sebab Leow enggan menerima MC, dia juga keluar rumah pada hari-hari dia tidak bekerja dan tidak mengambil langkah-langkah untuk menerangkan tentang keadaannya kepada pihak majikan. 

"Tiada keperluan mendesak untuk tertuduh keluar rumah sepanjang tempoh tersebut," menurut Encik Koh. 

Peguam bela Wee Pan Lee memohon kepada pihak mahkamah supaya menimbangkan alasan anak guamnya untuk menolak cuti sakit kerana masih dalam tempoh probesen ketika itu. 

Setelah hukuman dijatuhkan, Encik Wee mengusulkan agar hukuman penjara itu ditunda supaya Leow boleh memberi notis kepada majikannya. Permohonan itu diluluskan mahkamah. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa