Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 6 tahun, dirotan gara-gara campur dadah pada makanan & air teman serumah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam usaha untuk memberi pengajaran kepada teman serumahnya, Don Goh Tiong Hong menunggu mangsa tidur sebelum memasukkan dadah methamphetamine ke dalam botol air dan makanan lelaki itu.

Mangsa kemudian memakan dan minum barangan yang dicemari dadah itu dan mendapatkan rawatan disebabkan degupan jantung yang kuat, keletihan dan kewaspadaan melampau.

Hari ini (12 Mei), Don Goh Tiong Hong, 49 tahun dihukum enam tahun penjara. Hukuman itu termasuk 12 bulan atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan bahan yang menyebabkan mangsa menjadi bingung atau mabuk.

Lima tahun penjara yang selebihnya diusulkan bagi kesalahan jenayah berkaitan dengan dadah. Goh juga dikenakan hukuman tiga sebatan rotan.

Mahkamah mendapati bahawa teman serumahnya yang berumur 48 tahun itu merupakan pemilik kedua kediaman di Waterloo Street, di mana Goh melakukan kesalahan berkaitan dadah tersebut.

Goh sudah merancang untuk melakukan demikian terhadap mangsa pada awal September 2019 kerana dikatakan ada masalah peribadi dengan mangsa dan ingin "memberi pengajaran kepadanya," Timbalan Pendakwa Raya, Regina Lim, memberitahu mahkamah.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan apakah 'masalah peribadi' tersebut.

Goh kemudian membeli dadah yang dikenali sebagai dadah Ice daripada pengedar dadah pada harga S$150.

Pada 8 Oktober 2019, Goh mencampurkan dadah terkawal kelas A itu ke dalam botol air mangsa dan bekas makanan di peti ais yang dikongsi mereka. Dia sengaja menyasarkan barangan tersebut kerana dia tahu mangsa akan memakan makanan dan minuman itu pada hari itu.

Pesalah kemudian berniat untuk sengaja melaporkan mangsa kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk ditahan atas kesalahan jenayah menggunakan dadah terkawal.

Namun, mangsa kemudian mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila beliau memakan makanan yang sudah dicemari dadah itu. Ia terasa pahit dan badan beliau mula berasa panas akibat sensasi yang tidak selesa pada tubuhnya.

Sangkaan mangsa disahkan apabila beliau melihat kembali rakaman televisyen litar tertutup di dalam kediaman mereka yang merakam tindakan Goh. Mangsa kemudian membuat laporan polis.

Goh dijatuhi hukuman di mahkamah pada Mac 2020 namun melarikan diri pada Disember tahun itu semasa diikat jamin. Waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Dia ditahan sekali lagi pada 31 Ogos tahun lalu dan memberikan sampel air kencing yang kemudian dikesan mengandungi dadah Ice.

Ini bukanlah kesalahan pertama berkaitan dadah bagi Goh. Dia pernah dipenjara selama 12 bulan pada 2004 atas kesalahan menggunakan dadah terkawal, norketamine.

Mahkamah mendapati bahawa Goh juga diletakkan di bawah perintah kawalan dadah buat dua tahun di mana dia perlu sering melakukan ujian air kencing.

Namun, dia gagal untuk melaporkan diri untuk membuat ujian air kencing sebanyak 21 kali tanpa alasan yang sah.

Mereka yang didapati menyebabkan kecederaan dengan menggunakan bahan yang membingungkan atau memabukkan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kena sebatan rotan.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan