Lelaki dijel 4 minggu kerana maki hamun; lempang warden pada topi keledarnya
Apabila diminta untuk mengalihkan vannya buat kali kedua di pusat beli-belah JCube, Muhammad Abdul Raafiq Mohd Fazil, naik berang lalu menampar seorang warden tempat letak kereta pada topi keledar lelaki itu.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Apabila diminta untuk mengalihkan vannya buat kali kedua di pusat beli-belah JCube, Muhammad Abdul Raafiq Mohd Fazil, naik berang lalu menampar seorang warden tempat letak kereta pada topi keledar lelaki itu.
Dia juga melemparkan kata-kata kesat terhadap warden berkenaan selain mengugut mangsa supaya beredar jika tidak mahu ditumbuk. Abdul Raafiq juga mencabar warden itu untuk memetik gambar yang menunjukkan aksinya sedang menumbuk mangsa.
Atas tindakannya itu, lelaki berusia 30 tahun tersebut dikenakan hukuman penjara empat minggu pada Isnin (21 Okt). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan untuk menghalang seorang penjawat awam daripada melakukan tugasnya. Satu lagi tuduhan mendera penjawat awam secara lisan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu insiden tersebut berlaku pada 15 November tahun lalu.
Seorang warden tempat letak kereta, yang bekerja di bawah penyedia huraian keselamatan Certis Cisco, sedang melaksanakan tugas penguatkuasaannya di ruang punggah pusat beli-belah tersebut di Jurong East.
Warden itu meminta Abdul Raafiq, yang memandu sebuah van berwarna kelabu dan sedang menunggu di dua garisan kuning berhampiran ruang berkenaan, untuk mengalihkan kenderaannya.
Abdul Raafiq menurutkan permintaan tersebut dan memandu ke pintu masuk kawasan berkenaan. Warden itu kemudian mendekati Abdul Raafiq dan menasihatinya supaya mengalihkan kenderaannya sekali lagi.
Waktu itu, Abdul Raafiq keluar dari van lalu menampar warden tersebut pada topi keledarnya sehingga visor pecah dan jatuh ke lantai.
Akibatnya, warden berkenaan mengalami lebam-lebam pada wajah beliau dan melecet di bahagian bawah bibir. Pekerja itu diberi cuti sakit tiga hari.
Timbalan Pendakwa Raya Goh Yong Ngee memberitahu mahkamah bahawa Abdul Raafiq pernah didenda S$2,500 dan dilarang memandu selama 18 bulan pada tahun 2011 atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan pada seorang penjawat awam, Abdul Raafiq boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.