Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 24 minggu; serah memo palsu bagi lanjutkan tempoh penginapan warga asing di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 24 minggu; serah memo palsu bagi lanjutkan tempoh penginapan warga asing di S'pura

Kalvin Hai Chin Ts’uan. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Dalam usahanya untuk memanjangkan tempoh penginapan tiga warga China di Singapura, Kalvin Hai Chin Ts’uan sanggup menyerahkan memo palsu daripada sebuah hospital yang mendakwa seolah-olah ketiga-tiga warga asing itu perlu menjalani prosedur perubatan kecemasan.

Akibatnya, pihak berkuasa melanjutkan kesahihan pas khas mereka, yang membolehkan ketiga-tiga warga asing itu tinggal di sini untuk tujuan-tujuan tertentu seperti membantu siasatan dan menghadiri prosiding mahkamah.

Pada Rabu (27 April), Hai, 43 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 24 minggu selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan memalsukan dokumen rasmi.

Lagi empat tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

MENYAMAR SEBAGAI PEKERJA HOSPITAL

Mahkamah diberitahu bahawa Hai, warga Singapura, mula menghubungi para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jun tahun lalu.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bagaimana Hai, menyamar sebagai salah seorang kakitangan Hospital Mount Elizabeth Novena bernama Alvin Khoo, memberitahu para pegawai ICA mengenai ketiga-tiga warga China tersebut yang kononnya dijadualkan dihantar pulang ke negara asal mereka selepas terlibat dalam kegiatan-kegiatan maksiat di Singapura.

Hai mendakwa ketiga-tiga warga China itu - He Dandan, Ge Chunjuan dan Shen Xiaojuan - tidak sesuai untuk melakukan perjalanan dan perlu berada di Singapura untuk menjalani prosedur perubatan kecemasan.

Memo perubatan berhubung keadaan He dan Ge, yang kononnya dikeluarkan oleh pihak hospital, turut diserahkan kepada ICA.

Selepas itu, salah seorang pegawai yang bertugas di cawangan penghantaran pulang ICA memutuskan untuk memeriksa hal itu dengan pegawai rekod perubatan hospital berkenaan tetapi dimaklumkan bahawa tiada rekod mengenai ketiga-tiga warga asing tersebut.

Pegawai itu kemudian membuat aduan polis.

Mahkamah diberitahu bahawa pihak berkuasa berjaya mengenal pasti Hai sebagai individu yang menyamar sebagai Alvin Khoo dan memberkasnya.

Bagi setiap tuduhan melibatkan pemalsuan, Hai boleh dihukum penjara sehingga empat tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan