Skip to main content

Singapura

Lelaki dijel 23 minggu; menyamar sebagai pegawai ICA untuk terima wang, layanan seks dari tukang urut

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 23 minggu; menyamar sebagai pegawai ICA untuk terima wang, layanan seks dari tukang urut

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Apabila Kelvin Lim Chee Wee mendapat tahu tukang urutnya, seorang warga China, akan dihantar pulang tidak lama lagi, dia berbohong dengan memberitahu wanita itu bahawa dia seorang pegawai di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA)dan mengenali beberapa pekerja lain di sana.

Wanita tersebut ketika itu menghadapi masalah berkaitan imigresen. Lim mendakwa dapat membantunya dan sebagai bayaran, menerima layanan seks dan wang daripada wanita tersebut.

Lim, 44 tahun, dijatuhi hukuman penjara 23 minggu pada Khamis (24 Mac) dan didenda S$6,500 selepas mengaku bersalah terhadap enam tuduhan, lima daripadanya di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan satu di bawah Akta Rumah Urut.

Tukang urut itu, Cheng Wenjuan, 34 tahun, juga didakwa memberi seorang pegawai ICA sebenar, sogokan dalam bentuk layanan seks. Tuduhan terhadap Cheng terganggu menyusuli kematiannya pada Ogos tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa Lim berkenalan dengan Cheng, sekitar Mac 2019 dan menjadi pelanggan tetapnya. Mereka sering berhubungan melalui aplikasi WeChat.

Pada Mei 2019, Cheng memberitahu Lim dia ditangkap atas kesalahan berkaitan kegiatan maksiat dan akan dihantar pulang tidak lama lagi. Lim kemudian berbohong kepada mangsa mengenai hubungannya dengan ICA dan boleh membantu Cheng untuk mendapatkan pas khas.

Pas Khas membolehkan seorang warga asing untuk menetap di Singapura atas tujuan tertentu seperti membantu dalam siasatan.

Pasangan itu kemudian melakukan hubungan seks buat kali pertama. Lim sebelum ini akan membayar Cheng bagi khidmat urut dan layanan seks namun kali ini dia tidak menawarkan untuk membayarnya.

Lim kemudian memberitahu Cheng dia perlu membayar S$5,000 kepada seorang pegawai ICA untuk mendapatkan pas khas.

Pada 20 Mei 2019, Lim menerima S$3,000 daripada Cheng.

HARGA PAS KHAS MENINGKAT

Lim berjumpa Cheng lagi lapan hari kemudian dan sekali lagi mengadakan seks tanpa membayar wanita itu. Cheng memberitahu Lim dia ingin ditangkap pada pertengahan Julai tahun itu untuk mendapatkan pas khas.

Lim berkata dia boleh menguruskannya dengan kos untuk mendapatkan pas itu kini sudah naik kepada S$15,000.

Ini membuat Cheng marah dan dia meminta Lim bayar bagi layanan seks sebelumnya. Lim sebaliknya mengancam untuk tidak membantu Cheng mendapatkan pas khas dan menurunkan harga kepada S$8,000.

Lim menggunakan wang yang diperolehi daripada Cheng untuk membayar hutangnya dan bagi perbelanjaan peribadi.

Pada Julai tahun itu, Cheng memberi Lim lebih banyak wang untuk membantu temannya
Lei Guoxiang yang ditahan polis kerana kesalahan berkaitan kegiatan maksiat.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana Lim ditangkap.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita