Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 22 bulan kerana tindakan seksual ke atas wanita kurang daya intelek

Seorang lelaki berusia 51 tahun, Juma Khan Rasik Khan, dijatuhi hukuman penjara selama 22 bulan dan didenda kerana mencabul kehormatan seorang wanita kurang daya intelek, menumbuk seorang lelaki dan berkelakuan tidak senonoh.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 22 bulan kerana tindakan seksual ke atas wanita kurang daya intelek

Gambar fail.

Diterbitkan : 14 Aug 2018 06:31PM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 06:33PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 51 tahun, Juma Khan Rasik Khan, dijatuhi hukuman penjara selama 22 bulan dan didenda kerana mencabul kehormatan seorang wanita kurang daya intelek, menumbuk seorang lelaki dan berkelakuan tidak senonoh.

Juma Khan sendiri membuat aduan polis tentang kes pencabulan itu. Pada 5 November tahun lalu, dia menelefon polis dan memberitahu bahawa "seorang wanita (mengikutinya) hingga ke rumah".

Dia mengatakan bahawa wanita itu rakannya, menurut dokumen mahkamah. Dia memberitahu bahawa dia tidak melakukan hubungan seks dengannya, tetapi mengaku bahawa dia melakukan beberapa tindakan seksual terhadapnya.

"Sekarang dia ingin bersemuka dengan saya dan berkata bahawa saya (sudah melakukan hubungan seks) dengannya," kata Juma. "Boleh saya minta polis datang ke sini?"

Siasatan mendapati bahawa mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun yang disahkan kurang daya intelek oleh Institut Mental Kesihatan, sedang duduk di kolong blok pada sekitar 1.15 petang pada hari Juma mendekatinya.

Juma menyuruh mangsa mengikutinya lalu membawanya ke rumahnya di Ang Mo Kio. Juma mengenali bapa mangsa.

Dalam biliknya, Juma menanggalkan pakaiannya dan menyuruh mangsa melakukan perkara yang sama. Dia kemudian melakukan tindakan-tindakan seksual ke atas mangsa, meskipun dia tahu bahawa mangsa kurang daya intelek dan tidak mampu memberi keizinan sewajarnya.

Wanita berkenaan berkata bahawa beliau ingin meninggalkan rumah itu, menyarung pakaian lalu pergi. Mangsa kemudian kembali ke kolong blok di mana beliau bertemu dengan beberapa teman bapanya dan memberitahu mereka tentang apa yang berlaku.

Juma kemudian diberkas polis.

JUMA SENGAJA LAKUKAN TINDAKAN EKSPLOITASI SEKSUAL

Juma mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa untuk mencabul kehormatannya.

Dia turut mengaku bersalah atas dua lagi tuduhan: satu kerana berkelakuan tidak senonoh di blok Ang Mo Kio pada Disember 2016, dan menumbuk seorang lelaki pada Mac tahun ini menggunakan tali pinggang yang dililit pada buku limanya.

Timbalan Pendakwa Raya Grace Chua merayu supaya Juma dijatuhi hukuman penjara selama sekurang-kurangnya 24 bulan dan 1 minggu, sambil mengatakan bahawa Juma segaja mengambil kesempatan ke atas mangsa yang lemah.

"Tahap eksploitasi seksual sangat tinggi," katanya. "Tertuduh bersentuhan dengan mangsa dan kedua-duanya dalam keadaan berbogel. Jenayah boleh dikatakan dirancang terdahulu kerana tertuduh juga mengumpan mangsa untuk memasuki rumahnya."

Juma, yang tidak diwakili peguam, mendakwa bahawa dia mengalami skizofrenia. Dia juga sedang menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya bagi jenayah lain yang dilakukan - dia dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan pada Januari tahun ini kerana sengaja menyebabkan kecederaan. Rayuan terhadap hukumannya ditolak.

Hakim Mahkamah Daerah John Ng menjatuhi hukuman penjara 22 bulan, yang perlu Juma jalani selepas dia selesai menjalankan hukuman sekarang, serta denda sebanyak S$1,000. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan