Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 17 bulan; sembunyikan rakan dalam bagasi setelah membantunya pecah masuk rumah

Ketika Joshua Lim Wei Kiat memerlukan tempat untuk bersembunyi untuk elak daripada dicekup polis, dia mendapatkan bantuan seorang rakan lamanya, Chia Wei Poh. Chia menyembunyikan Lim dalam sebuah beg pakaian agar tidak dapat dikesan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 17 bulan; sembunyikan rakan dalam bagasi setelah membantunya pecah masuk rumah

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 11:05PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:07PM

SINGAPURA: Ketika Joshua Lim Wei Kiat memerlukan tempat untuk bersembunyi untuk elak daripada dicekup polis, dia mendapatkan bantuan seorang rakan lamanya, Chia Wei Poh. Chia menyembunyikan Lim dalam sebuah beg pakaian agar tidak dapat dikesan polis.

Pada Isnin (2 Ogos), Chia, 32 tahun, dijatuhi hukuman penjara 17 bulan setelah dia mengaku bersalah ke atas satu tuduhan membantu Lim melakukan kesalahan pecah masuk dengan niat mencuri, serta satu lagi tuduhan menyembunyikan penjenayah pecah masuk (Lim) dengan niat melindunginya daripada hukuman undang-undang.

Satu tuduhan masing-masing membantu melakukan pecah masuk pada waktu malam dengan niat mencuri, dan secara rela menghalang seorang pegawai polis daripada melakukan penangkapan diambil kira sewaktu menjatuhkan hukuman.

BUTIRAN KES

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chong Kee En memberitahu mahkamah bahawa Lim, yang kini berusia 31 tahun, sebelum itu pernah didakwa atas kesalahan pecah masuk rumah pada waktu malam untuk mencuri pada 12 Sep 2018.

Chia bersetuju menjadi penjamin untuk rakannya dengan ikat jamin S$15,000.

Bagaimanapun, apabila Lim dijadualkan datang ke mahkamah pada 6 Dis tahun itu, dia gagal hadir dan waran untuk penangkapannya dikeluarkan. Chia turut kehilangan S$5,000 bayaran ikat jamin disebabkan itu.

Sekitar April tahun berikutnya, Lim menghubungi Chia kerana memerlukan tempat tinggal.

DPP Chong berkata Lim memberitahu rakannya bahawa dia kini mempunyai seorang bayi lelaki, dan mahu melunaskan hutang kad kreditnya.

Lim juga memberitahu Chia bahawa dia akan bekerja sebagai seorang pekerja penghantaran untuk memulangkan wang ikat jamin S$5,000 yang dibayar Chia.

Meski mengetahui bahawa rakannya dikehendaki polis, atas belas kasihan Chia membenarkan Lim tinggal di flatnya tanpa perlu membayar sewa. Chia malah memberi Lim kerja sebagai kerani di syarikat pindah rumah dan pengangkutannya, kata peguam bela Chia, Encik Anil Singh Sandhu.

DPP Chong berkata pada bulan Jun tahun itu, Lim memberitahu Chia bahawa dia ingin melakukan lebih banyak pecah masuk kerana memerlukan wang.

Tidak dinyatakan sama ada Chia cuba untuk mengubah fikiran Lim, tetapi DPP Chong berkata bahawa Chia telah membawa Lim berjumpa seorang rakan yang mereka berdua kenali. Rakan itu mencadangkan beberapa tempat yang boleh dirompak. Chia turut membantu rakannya membuat persiapan untuk melakukan jenayah-jenayah tersebut dengan menghantarnya ke Mustafa Centre dan menemaninya untuk membeli kelengkapan yang diperlukan.

Dalam satu kes yang dikongsi pendakwa, Chia bertindak sebagai pemandu yang membantu Lim melarikan diri setelah merompak sebuah kelab di Boat Quay pada tengah malam 24 Jun 2019.

Apabila Chia mengambil rakannya di daerah Chinatown setelah itu, dia mendapati Lim hanya mampu mencuri S$25 dari mesin tunai kelab tersebut.

DPP Chong berkata Chia kemudian perlu membayar ganti rugi sebanyak S$2,500 bagi kerosakan kepada harta milik kelab berkenaan.

Lim akhirnya dijejaki ke flat Chia yang dikunjungi polis pada petang 25 Jun 2019.

Namun, pasangan itu telah melihat ketibaan polis dari balkoni flat.

Menurut DPP Chong, Lim hendak melarikan diri dari balkoni dengan mengikat kain cadar, tetapi Chia bimbang rakannya akan jatuh lalu membunuh dirinya sendiri.

Chia sebaliknya menyembunyikan Lim dalam bagasi pakaian dan juga meletakkan beberapa barang di atasnya untuk mengelak dari dikesan.

Apabila polis memasuki flatnya, Chia pada mulanya menafikan Lim ada di situ, tetapi akhirnya mendedahkan tempat di mana dia bersembunyi.

Pada waktu itu, Lim sudah berada di dalam bagasi pakaian itu selama sekitar sejam, dan perlu dimasukkan ke Hospital Besar Changi selama seminggu akibat rasa kebas pada kakinya yang membuatnya tidak dapat berjalan.

Lim telah dihukum penjara empat tahun dan enam bulan serta empat sebatan pada 17 Julai tahun lalu.

Sumber : Today/IH/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan