Skip to main content

Singapura

Lelaki dijel 13 minggu rakam anak tiri mandi

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 13 minggu rakam anak tiri mandi

(Gambar: Pixabay/tookapic)

Diterbitkan : 22 Dec 2021 08:55PM Dikemas Kini : 22 Dec 2021 08:58PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang meletakkan telefon bimbitnya di dalam tandas untuk merakam anak tirinya mandi ditangkap basah melakukan aksi tersebut apabila mangsa menemui telefon bimbit itu di bawah sinki.

Rakaman video menunjukkan pesalah meletakkan telefon bimbit itu di bawah sinki dan dia sedang melutut di ruang tamu apabila teman lelaki dan pakcik mangsa tiba untuk menyelamatkannya.

Lelaki Malaysia berusia 43 tahun itu dikenakan hukuman penjara 13 minggu pada Rabu (22 Dis). Dia tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan penyakit intai atau voyeurisme. Dua lagi tuduhan yang sama kerana merakam anak tirinya turut dipertimbangkansemasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu, yang juga penduduk tetap Singapura sudah berkahwin dengan ibu mangsa selama lebih 10 tahun.

Pada 2019, mangsa berpindah ke Singapura dari Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu pentadbiran dan tinggal bersama ibu dan bapa tirinya.

Wanita 24 tahun itu mengongsi bilik bersama teman lelakinya sementara ibu dan bapa tirinya menggunakan satu lagi bilik.

Pada 5 Sep lalu, tertuduh pulang ke rumah pada sebelah malam selepas minum tiga botol bir di sebuah kedai kopi.

Dia kemudian mandi dalam bilik air di dapur dan meletakkan telefon bimbitnya di bawah sinki dan memicit butang rakaman video. Dia melakukan demikian kerana ingin merakam anak tirinya mandi. Ketika itu, hanya tinggal mangsa sahaja di rumah.

Sekitar sejam kemudian, mangsa pergi ke tandas di dapur untuk mandi. Mangsa sudah menanggalkan baju dan mula hendak mandi apabila terperasan telefon bimbit bapa tirinya dibawah sinki.

Mangsa mengambil telefon bimbit itu dan menyedari ia sedang dalam mod rakaman video. Dia memeriksa rakaman itu yang menunjukkan bapa tirinya meletakkan telefon bimbit itu di bawah sinki tersebut.

Mangsa langsung menyarung semula pakaian dan pergi ke biliknya bersama telefon bimbit itu. Dia tidak bersemuka dengan bapa tirinya kerana takut, dan langsung menelefon teman lelaki dan pakciknya dan menceritakan kejadian tersebut.

Melihat anak tirinya keluar dari tandas, pesalah masuk ke tandas tersebut untuk mengambil kembali telefon bimbitnya. Dia sedar anak tirinya sudah mengambil telefon bimbit itu lalu mengetuk pintu bilik mangsa.

Teman lelaki dan pakcik mangsa sampai tidak lama kemudian dan pergi ke bilik wanita tersebut.

Pakcik mangsa menelefon polis dan lelaki tersebut ditangkap dan telefon bimbitnya dirampas. Siasatan polis menemui dua lagi rakaman anak tirinya sedang mandi. Rakaman tersebut dibuat seawal tahun 2020.


Atas kesalahan intai, lelaki itu boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat, atau sebarang gabungan hukuman tersebut.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita