Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara; tumbuk mangsa kerana sangka potong barisan beratur teksi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menunggu lebih 30 minit untuk menaiki teksi bergaduh dengan seorang lelaki lain yang juga sedang menunggu teksi, dengan kedua-dua lelaki itu menyangka salah seorang daripada mereka memotong barisan beratur.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan yang teruk dengan sengaja, Sim Yi Ming yang berusia 32 tahun dihukum penjara selama 11 bulan pada Khamis (1 Sep).

Mahkamah diberitahu bahawa Sim melanggani sebuah pub di Golden Mile Complex bersama seorang rakan pada malam 27 Disember 2021. Mangsa, seorang lelaki berusia 39 tahun, melanggani pub lain di bangunan yang sama.

Antara pukul 10.00 malam hingga 11.00 malam, mangsa meninggalkan pub untuk pergi ke perhentian teksi. Sim dan rakannya secara berasingan meninggalkan pub tempat mereka berada dan berjalan ke pintu masuk Golden Mile Complex.

Mereka bagaimanapun tidak berhasil menempah kereta sewa privet Grab atau Gojek dan cuba menahan teksi.

Mangsa menyangka Sim dan rakannya mahu memotong barisan beratur, jadi dia berjalan di depan mereka untuk menunggu teksi.

Sim dan rakannya mendekati mangsa lalu bertanya apa yang dilakukan oleh mangsa. Mangsa menjawab bahawa dia sedang menunggu teksi dan perkelahian tercetus selepas itu.

Sim menumbuk mata mangsa dan kedua-dua lelaki itu jatuh ke tanah, dengan Sim berkali-kali menumbuk muka mangsa.

Para pegawai polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan cuba memisahkan kedua-dua lelaki itu.

Mangsa mengalami keretakan di sekeliling matanya dan juga lebam pada bahagian mukanya. Mangsa dibawa ke hospital dan dimasukkan ke dalam wad untuk dipantau keadaannya dan bagi merawat kecederaannya.

Mangsa diberikan cuti sakit di hospital selama tujuh hari.

Dalam rayuannya, Sim yang tidak diwakili peguam, mendakwa bahawa dia menunggu selama lebih 30 minit untuk mendapatkan teksi.

"Aplikasi Gojek dan Grab saya tidak boleh digunakan. Mangsa ... dia memotong barisan beratur dan saya berjalan ke arahnya untuk memberitahunya dengan sopan (bahawa saya) sedang menunggu teksi," katanya.

Sim memberitahu mangsa bahawa dia tidak akan berasa marah jika mangsa sedang menunggu kereta sewa Grab atau Gojek, tetapi mangsa sebaliknya berkata dia sedang menunggu teksi.

Menurut Sim, dia tahu itu adalah kesilapannya dan berharap hakim akan lebih berlembut terhadapnya.

Pendakwa mengusulkan hukuman penjara antara 10 hingga 11 bulan, sambil menarik perhatian kepada kesalahan lalu Sim termasuk menyebabkan kecederaan dengan sengaja pada 2014, di mana dia dihukum penjara selama tiga minggu.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan yang teruk, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda atau dirotan.

Sumber : CNA/HY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan