Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara & sebat kerana import gula-gula berisi dadah dari UK dan tanam pokok ganja di flat

Anggaran Waktu Membaca:
 Lelaki dihukum penjara & sebat kerana import gula-gula berisi dadah dari UK dan tanam pokok ganja di flat

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 18 Dec 2023 10:20PM
SINGAPURA: Seorang lelaki mengimport gula-gula mengandungi dadah daripada seorang individu di United Kingdom, merancang pembelian melalui Telegram dan membayar gunakan Bitcoin melalui pihak ketiga.

Bagaimanapun, seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesan sesuatu ganjil ketika memeriksa gambar-gambar X-Ray bungkusan tersebut, lalu melaporkan kes itu kepada Biro Narkotik Pusat (CNB).

Muhammad Dzulhilmi Bin Salimi, seorang warga Singapura 32 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat bulan, serta lima sebatan pada Isnin (18 Dis).

Dia mengaku bersalah ke ata tiga tuduhan mengimport, mengambil dadah dan memiliki peralatan dadah dalam bentuk sebuah bekas kaca.

Tuduhan keempat, iaitu menanam pokok ganja di sebuah flat di Bedok dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Dzulhilmi berkenalan dengan seseorang yang bernama Nabil, yang menetap di United Kingdom dan menjual ganja dan gula-gula yang mengandungi tetrahydrocannabinol, sejenis bahan psikoaktif utama ganja.

Tetrahydrocannabinol adalah ubat terkawal Kelas A di Singapura.

Sebelum 19 Oktober 2022, Dzulhilmi memesan 20 paket gula-gula yang mengandungi tetrahydrocannabinol daripada Nabil, dan membayarnya £200 (S$337) dalam bentuk Bitcoin, melalui seorang rakan bernama Omar.

Dzulhilmi memberitahu Nabil agar menyimpan satu paket buat dirinya, dan mengemas semula baki 19 paket supaya tidak kelihatan mencurigakan.

Dia meminta Nabil menghantar 19 paket itu ke rumah Dzulhilmi di Singapura. Nabil memberitahunya bahawa bungkusan tersebut dibungkus dengan baik dan tidak perlu dibungkus semula.

Nabil kemudian menghantar bungkusan yang mengandungi 19 paket gula-gula bercampur dadah itu ke Singapura sebagai mel berdaftar.

Sebelum menerima bungkusan itu, Dzulhilmi mengatur penjualan empat bungkus gula-gula itu kepada rakan-rakannya.

Pada 19 Oktober 2022, seorang pegawai ICA di bahagian pos bungkusan ICA, Pusat Pos Singapura, melihat perkara luar biasa dalam gambar X-Ray bungkusan itu.

Selepas saringan lanjut, bungkusan tersebut dirampas dan diserahkan kepada CNB.
Disebabkan mengimport dadah terkawal Kelas A, Dzulhilmi boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 30 tahun, serta 15 sebatan.

Atas kesalahan mengambil dadah, dia boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun, denda S$20,000, atau kedua-duanya sekali.

Akibat memiliki peralatan dadah, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita