Lelaki dihukum penjara, sebat kerana ikat bekas temanita, 2 anak perempuan dan pembantu rumahnya; ancam letupkan flat mangsa
Seorang lelaki memecah masuk ke rumah flat bekas temanitanya dengan niat mahu mengugut beliau. Dia mengikat tangan dua anak perempuan mangsa dan pembantu rumahnya sebelum bersemuka tentang seorang lagi lelaki dan hutang yang didakwa belum dilangsaikan.
(Gambar hiasan: Mediacorp)
SINGAPURA: Seorang lelaki memecah masuk ke rumah flat bekas temanitanya dengan niat mahu mengugut beliau. Dia mengikat tangan dua anak perempuan mangsa dan pembantu rumahnya sebelum bersemuka tentang seorang lagi lelaki dan hutang yang didakwa belum dilangsaikan.
Semasa serangan itu, wanita itu diikat dengan pita pelekat, pengikat kabel dan tali. Beliau mengalami luka di lengannya, lebam di kaki dan melecet di pergelangan tangan.
Wanita tersebut juga "mengadakan hubungan seks" dengan lelaki berkenaan kerana takut akan ancaman bekas kekasihnya itu. Menurut pendakwa raya, mangsa juga bimbang tentang apa yang mungkin dilakukan lelaki itu terhadap beliau dan dua anak perempuannya.
Bagi pelbagai jenayah yang dilakukannya, lelaki berusia 38 tahun itu pada Isnin (13 Jul) dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sembilan bulan serta enam kali sebatan rotan.
Nama lelaki itu tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah demi melindungi identiti mangsa.
Lelaki itu mengaku bersalah atas enam tuduhan termasuk pecah masuk rumah pada sebelah malam, jenayah ugutan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan mengurung mangsa. Empat lagi tuduhan diambil dalam pertimbangan semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu lelaki itu putus hubungan dengan temanitanya sekitar Januari 2019.
Wanita berkenaan tinggal bersama pembantu rumah dan dua anak perempuannya, yang berusia tujuh serta 10 tahun, di sebuah flat.
PECAH MASUK FLAT, IKAT PEMBANTU RUMAH DAN 2 ANAK PEREMPUAN
Sekitar jam 2.30 pagi pada 16 Mac 2019, lelaki itu memecah masuk ke flat bekas temanitanya dengan membuka pintu depan rumah yang tidak berkunci.
Dia kemudian mencapai kunci yang tergantung pada satu tembok dan membuka pagar rumah.
Dia langsung pergi ke bilik tidur bekas temanitanya di mana kedua-dua anak mangsa sedang tidur.
Apabila mereka menjerit, pembantu rumah masuk ke dalam bilik itu namun ditolak lelaki berkenaan menyebabkan kepala dan belakangnya terhantuk pada laci almari.
Pembantu rumah itu melecet di belakang telinga dan lebam di pinggulnya.
Pembantu rumah tersebut mengecam lelaki itu dan ternampak pisau yang dipegangnya.
Lelaki itu memberitahu pembantu rumah tersebut bekas temanitanya berhutang sekitar S$6,000 dan dia sedang mencari beliau. Namun, pembantu rumah itu menjawab beliau tidak tahu bila majikannya akan pulang ke rumah.
Lelaki itu kemudian mengikat pembantu rumah dan dua anak mangsa dengan pita pelekat, pengikat kabel serta tali. Mereka juga diarah masuk ke bilik pembantu rumah itu.
Lelaki itu memindahkan tong gas dari dapur ke pintu bilik dan mengancam untuk meletupkan flat tersebut jika mereka buat bising. Dia juga menutup mulut ketiga-tiga mangsa dengan pita pelekat.
Apabila bekas temanita lelaki itu pulang sekitar 3.00 pagi, dia mengacukan pisau ke lehernya,
membawa wanita itu ke bilik di mana pembantu rumah dan dua anaknya ditahan. Dia juga mengancam untuk akan meletupkan flat tersebut, kata Timbalan Pendaka Raya Lee Wei Liang.
Lelaki itu kemudian membawa bekas temanitanya ke bilik wanita tersebut di mana beliau terlihat satu lagi tong gas di pintu.
Lelaki itu mengikat kedua-dua tangan serta kaki mangsa, membaca mesej di telefon bimbitnya dan bersemuka tentang rakan lelaki yang berbalas mesej beliau. Dia juga mendakwa wanita itu masih berhutang dengannya.
Semasa konfrontasi itu, dia duduk di atas tong gas dan mengancam untuk meletupkan flat tersebut, menghidupkan tong gas itu serta memetik pemetik api.
Wanita itu berjaya merayu lelaki itu untuk melepaskannya serta membuka ikatan pada tangan pembantu rumah dan dua anak perempuan selepas jam 7.30 pagi.
Lelaki itu membawa keluarga tersebut keluar bersarapan dan wanita tersebut meluangkan sehari bersama lelaki itu, takut untuk meminta bantuan kerana tertuduh masih mempunyai pisau.
Pada keesokan hari, wanita itu berjaya menghubungi pembantu rumahnya dan menyuruh beliau meminta bantuan untuk membuat aduan polis.
Tertuduh diberkas polis pada sebelah malam 17 Mac 2019 di Woodlands. Beberapa barangan dirampas daripadanya termasuk pisau dapur, dua tukul, pisau Swiss Army dan pemutar skru.
Barang-barang lain yang turut dirampas kemudian termasuk pakaian koyak milik bekas temanitanya, beberapa tali, pita pelekat dan pengikat kabel.
Bagi jenayah ugutan dengan ancaman untuk menyebabkan kematian, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Hukuman bagi mengurung adalah penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.
Bagi memecah masuk rumah dengan persediaan dibuat untuk menahan mangsa, dia boleh dipenjara antara dua hingga 14 tahun serta disebat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.