Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara, sebat kerana edar kandungan penderaan seksual kanak-kanak

Seorang lelaki yang disifatkan pihak pendakwa sebagai “hab pengedaran tunggal” bagi kandungan penderaan seksual melibatkan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun satu bulan serta empat sebatan rotan pada Isnin (14 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara, sebat kerana edar kandungan penderaan seksual kanak-kanak

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang disifatkan pihak pendakwa sebagai “hab pengedaran tunggal” bagi kandungan penderaan seksual melibatkan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun satu bulan serta empat sebatan rotan pada Isnin (14 Jul).

Danial Abdul Rahman, 31 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 285 video yang memaparkan penderaan seksual kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Satu lagi pertuduhan turut dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Sebahagian besar video tersebut menunjukkan kanak-kanak yang terlibat atau kelihatan terlibat dalam kegiatan seksual.

Tujuh daripadanya memaparkan mangsa yang didera secara fizikal, dizalimi atau diseksa.

Secara keseluruhan, 414 kanak-kanak dipaparkan dalam video terbabit, dengan 383 daripada mereka dapat dikenal pasti.

Video paling panjang adalah lebih satu jam 50 minit.

Mahkamah diberitahu bahawa Danial sedang menjalani latihan untuk menjadi seorang pemasar digital ketika melakukan kesalahan itu.

Pada 2017, dia mula melayari laman blog Tumblr untuk mencari kandungan lucah melibatkan kaum lelaki.

Dia kemudian memuat turun kandungan tersebut dan menyimpannya dalam akaun Google Drive miliknya.

Dia turut menggunakan pelayar (browser) khas untuk mengakses jaringan gelap (dark web) bagi mendapatkan kandungan penderaan kanak-kanak, yang dimuatturunnya.

Danial juga menyertai beberapa saluran di aplikasi sembang Telegram, di mana kandungan lucah, termasuk kandungan penderaan kanak-kanak, dikongsi dan diedarkan.

Dia memuat turun kandungan-kandungan tersebut dan menyimpannya dalam Google Drive.

Pada 2018, Danial membuka akaun Twitter, yang kini dikenali sebagai X.

Dia menggunakannya untuk menerbitkan kandungan lucah atau menyebarkan semula kandungan daripada akaun lain yang serupa.

Akaun tersebut mempunyai sekitar 200 hingga 500 pengikut. Beberapa pengguna menghantar mesej peribadi kepadanya untuk meminta bantuan dalam memuat turun kandungan-kandungan lucah tertentu, termasuk kandungan yang melibatkan penderaan kanak-kanak.

Danial bersetuju dan menggunakan jaringan gelap untuk mencari kandungan-kandungan tersebut sebelum menghantarnya secara langsung kepada pengguna atau dengan berkongsi pautan Google Drive miliknya.

Pada Mei 2021, akaun Twitternya digantung. Namun, dia mula menerima permintaan bagi kandungan penderaan kanak-kanak melalui Telegram dan masih memenuhi permintaan itu.

Dia mengedarkan kandungan sedemikian kepada ramai pengguna, termasuk sekurang-kurangnya lima pengguna Twitter, sepanjang tempoh sekurang-kurangnya empat tahun dari 2018 hingga Mac 2022.

Pihak polis menerima maklumat tentang kegiatan Danial dan menyerbu rumahnya pada 12 Mei 2022.

Dia mengaku memuat naik kandungan lucah ke dalam Google Drive miliknya dan diberkas.

Pihak polis turut merampas peranti miliknya dan menemui 285 video yang mengandungi kandungan penderaan kanak-kanak.

Dokumen mahkamah merekod butiran yang mengganggu mengenai kandungan video-video tersebut, termasuk bayi bawah umur setahun yang menjadi mangsa kepada perbuatan yang jijik dan hina.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 37 hingga 39 bulan serta enam sebatan, sambil menyifatkan perbuatannya sebagai “amat keji dan menjijikkan”.

Timbalan Pendakwa Raya Benjamin Low berkata: “Dengan bersetuju dan sengaja memenuhi permintaan tidak bermoral daripada pengguna internet lain bagi mendapatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak untuk memenuhi kecenderungan songsang mereka, tertuduh secara aktif dan berterusan menyumbang kepada pasaran bahan penderaan seksual kanak-kanak dengan bertindak sebagai hab pengedaran tunggal bagi memuat turun bahan tersebut.”

Atas kesalahan memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak untuk tujuan pengedaran, Danial boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda atau sebat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita