Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara, rotan kerana tendang perut anak tiri 4 tahun, yang kemudiannya meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara, rotan kerana tendang perut anak tiri 4 tahun, yang kemudiannya meninggal dunia

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 May 2022 04:24PM

SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 12 sebatan rotan pada Isnin (9 Mei) kerana menendang perut anak tirinya yang berusia empat tahun. Kanak-kanak perempuan itu kemudiannya meninggal dunia.

Muhammad Salihin Ismail, 29 tahun, didapati bersalah pada Mac kerana sengaja menyebabkan kecederaan teruk selepas hakim Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada tuduhan membunuh. Salihin telah mencabar tuduhan tersebut semasa perbicaraan.

Kejadian itu berlaku pada 1 Sep 2018. Salihin menolak budak itu menyebabkannya terjatuh, dan menendang kanak-kanak tersebut dua kali di perutnya semasa dia terbaring di atas lantai.

Dia berbuat demikian selepas kanak-kanak itu membuang air kecil di atas lantai dan bukannya mangkuk tandas. Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa kanak-kanak tersebut sedang dilatih untuk menggunakan tandas sebagai persediaan ke sekolah.

Mangsa mengadu sakit perut pada sebelah petang, hilang selera makan dan muntah semalaman. Salihin dan ibu budak itu menyapu minyak pada perutnya.

Mereka tidak mendapatkan rawatan perubatan sehingga mangsa rebah pada keesokan paginya. Dia kemudiannya dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat trauma pada perutnya.

Pada Mac, Salihin dibebaskan daripada tuduhan membunuh selepas Hakim Pang Khang Chau mendapati pihak pendakwaan tidak membuktikan lelaki itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

<<BACA:Meski dibebaskan dari tuduhan bunuh; lelaki didapati bersalah cederakan anak tiri>>

Dua lagi tuduhan penderaan terhadap mangsa dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Pada 2017, dia meletakkan kepala pancuran mandi dengan air panas yang mengalir keluar di belakang kanak-kana itu selama lima hingga enam saat, menyebabkan kesan melecur. Pada 2018, dia menghentak kepala budak itu ke lantai, menyebabkannya lebam.

Hukuman kerana sengaja menyebabkan kecederaan teruk ialah penjara sehingga 10 tahun dan denda atau rotan.

Sumber : CNA/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita