Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara kerana cabul kehormatan wanita; tergamak curi wang ibu sendiri

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang tempoh hampir dua tahun, seorang lelaki muda sudah melakukan beberapa jenayah termasuk mencabul kehormatan seorang wanita dan mencuri daripada seorang jemaah masjid, seorang penghantar makanan GrabFood dan juga ibunya sendiri. 

Nur Hafizat Selamat yang kini berusia 22 tahun dijatuhi hukum penjara selama dua bulan dan dua minggu pada Isnin (27 Dis). Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan mencuri, mencabul kehormatan dan secara tidak jujur menyalahgunakan harta benda. Tujuh tuduhan lain turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. 

Mahkamah diberitahu bahawa Hafizat yang menganggur semasa kesalahan-kesalahan itu dilakukan, sedang menunggu lif di sebuah blok HDB pada 7 Mac 2019. 

Seorang wanita berusia 27 tahun yang sedang dalam perjalanan pulang dari kerja turut menunggu lif yang sama dengan Hafizat.

Ketika pintu lif hampir terbuka, Hafizat menepuk punggung kiri wanita itu dengan tangannya. Wanita itu menoleh lalu merenung ke arah Hafizat yang memandangnya tetapi tidak mengikutnya ke dalam lif. 

Selepas wanita itu memasuki lif tersebut, Hafizat memberikannya kucupan layang lalu melambai ke arahnya. Perbuatannya itu dirakam oleh Televisyen Litar Tertutup (CCTV). Mangsa kemudian menghubungi pihak polis. 

Kemudian pada lewat tahun itu, Hafizat mula mencuri. Pada 16 November 2019, dia mencuri S$250 daripada kantung ibunya semasa wanita berusia 51 tahun itu sedang tidur. 

Bapa tirinya kemudian menghubungi polis untuk membuat aduan terhadap anak tirinya itu. 

Pada 10 Februari 2020 pula, Hafizat pergi ke Masjid Al-Islah di Punggol. 

Jemaah lelaki berusia 52 tahun yang berada di masjid berkenaan meletakkan telefon bimbitnya pada pengecas berhampiran rak di pintu masuk dewan solat. 

Lelaki itu kemudian mendirikan solatnya dan sekitar 30 minit selepas itu dia mendapati telefon bimbitnya sudah hilang. 

Rakaman CCTV menunjukkan Hafizat berlegar-legar di kawasan berhampiran dengan rak tersebut. Telefon bimbit mangsa kemudian dijumpai bersama dengan Hafizat. 

Pada 23 Januari tahun ini, seorang penghantar makanan GrabFood yang berusia 47 tahun meletakkan basikal elektriknya di sebuah blok di Punggol untuk menghantar makanan. 

Namun, apabila mangsa pulang ke tempat kejadian, dia mendapati beg hitam dalam salah satu kompartmen beg Grab di basikalnya hilang. Beg itu mengandungi pasport mangsa serta wang tunai bernilai S$700. 

Kamera polis merakam Hafizat sedang mengeluarkan beg hitam itu daripada basikal elektrik tersebut. Dia membuang pasport mangsa dan beg berkenaan lalu menggunakan wang mangsa untuk dirinya sendiri. 

Jika didapati bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan, Hafizat boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman tersebut. 

Atas kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan