Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara kerana bantu tipu IRAS; terima lebih S$30,000 dalam bentuk geran

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara kerana bantu tipu IRAS; terima lebih S$30,000 dalam bentuk geran

(Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 25 Mar 2025 07:15PM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 07:17PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang bekerjasama dengan seorang lagi untuk memperdayakan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) supaya mengeluarkan lebih S$30,000 di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) semasa wabak COVID-19 dijatuhi hukuman penjara lapan minggu pada Selasa (25 Mac).

Alvin Yap, 60 tahun, mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu, dengan lagi lapan tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), yang ditadbir oleh IRAS, telah diperkenalkan semasa pandemik untuk menyediakan sokongan gaji kepada para majikan untuk mengekalkan pekerja mereka.

Di bawah skim itu, pemerintah membiayai bersama 25 peratus hingga 75 peratus daripada gaji bulanan kasar yang dibayar kepada setiap pekerja tempatan melalui geran tunai untuk membantu syarikat-syarikat perusahaan.

Untuk mengesan dan mencegah penyalahgunaannya, rangka kerja antipenipuan telah diperkenalkan di mana IRAS akan meminta majikan untuk menjalankan semakan sendiri, serta menyediakan pengisytiharan dan dokumen sokongan.

Menurut dokumen mahkamah, warga Singapura itu adalah pengarah eksekutif perniagaan akuakultur ketika itu. Seorang lagi tertuduh ialah Sean Tan Zheng Wee, pengarah firma bioteknologi Insect Feed Technologies (IFT).

Kes Tan belum selesai di mahkamah, dan dia menghadapi 13 tuduhan.

Pada Jun 2020, Yap terlibat dalam konspirasi dengan Tan untuk memperdayakan IRAS supaya mempercayai bahawa 10 pekerja melakukan kerja untuk bulan Mei agar mereka boleh mendapatkan pembayaran JSS.

Untuk menjana rekod pembayaran gaji yang konsisten dengan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Tan membayar gaji kepada pekerja terbabit tetapi memerlukan mereka untuk memulangkan jumlah tersebut ke akaun bank peribadinya.

Siasatan mendapati pekerja tersebut tidak menerima sebarang gaji, kecuali caruman CPF.

Muslihat mereka terbongkar selepas IRAS menjalankan temu bual susulan dengan beberapa pekerja IFT dan mendapati bahawa mereka telah memulangkan gaji yang mereka terima ke akaun bank peribadi Tan dan/atau telah menerima caruman ke akaun CPF mereka walaupun sebelum mereka mula bekerja dengan IFT.

IRAS tidak membayar geran JSS bagi Oktober 2020 kepada IFT.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan telah mengemukakan idea untuk mengambil kesempatan daripada skim itu dan telah berkongsi rancangannya dengan Yap di "peringkat tinggi".

Tan meminta Yap membantu menyediakan wang tunai yang diperlukan untuk membayar caruman CPF, yang Yap bersetuju untuk lakukan.

Yap boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda kerana menipu.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita