Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara; kelar isteri dengan pisau cincang, serang & meludah pekerja SGH

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara; kelar isteri dengan pisau cincang, serang & meludah pekerja SGH

(Gambar: Coyau/Wikimedia Commons)

SINGAPURA: Sejurus selepas mencekik isterinya, menderanya secara fizikal, mengelar lengannya dengan pisau cincang dan mengugut untuk membunuhnya, Wee Guo Qiang turut bertindak ganas terhadap beberapa kakitangan perubatan. 

Dia juga meludah ke arah pekerja hospital dan membuat kenyataan berunsur perkauman dan berbaur agama pada seorang jururawat yang sedang memeriksanya ketika dia dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH). 

Warga Singapura yang berusia 26 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun, tujuh bulan dan dua minggu pada Isnin (20 Jun). 

Wee mengaku bersalah atas tujuh tuduhan, termasuk mencederakan isterinya dengan menggunakan senjata berbahaya, jenayah ugutan dan menyebabkan kecederaan untuk menghalang penjawat awam daripada melakukan tugasnya. 

Hakim Daerah Tan Jen Tse juga mengambil kira lagi 13 tuduhan serupa semasa menjatuhkan hukuman. 

Mahkamah diberitahu bahawa Wee, yang sudah berkahwin dengan seorang wanita China berusia 34 tahun, mabuk pada waktu malam 28 Disember 2020. 

Dia kemudian mengejutkan isterinya di katil dengan memeluknya. Apabila isterinya memberitahunya bahawa dia berbau arak dan dia tidak sepatutnya mengganggunya, Wee duduk di bahagian bawah badannya dan menggigit bahunya, dan tidak mahu melepaskan isterinya. 

Wee kemudian mencekik isterinya dengan kedua-dua tangannya, menyebabkan wanita itu hampir tidak sedarkan diri. 

Dia juga mengugut untuk mencekiknya sehingga mati sebelum akhirnya melepaskan cengkamannya dan berkata, dia akan membunuh isterinya itu. 

Isteri Wee merayu kepadanya supaya jangan berbuat demikian kerana dia mempunyai seorang anak. Namun, tidak jelas sama ada anak itu adalah hasil perkahwinan Wee dan isterinya. 

Wee kemudian menarik rambutnya dan memukul kepala wanita berkenaan pada cermin almari berulang kali. Cermin itu retak akibat kesan hentakan itu. 

Wee yang tidak berpuas hati, mengambil pisau cincang dar dapur lalu mengacukannya ke arah isterinya dan mengancam akan mencincangnya sehingga mati. Dia kemudian mengelar bahagian atas lengan kiri wanita itu dengan pisau tersebut. 

Isteri Wee tidak dapat membalas serangan itu kerana anggota badannya menjadi kebas selepas dicekik di katil. 

Untuk menghentikan tindakan Wee, isterinya mendakwa bahawa dia hamil. Ini mendorong Wee untuk menghentikan serangan terhadap isterinya dan memanggil ambulans. 

Wee kemudian didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin. 

TENDANG DAN GIGIT PEKERJA HOSPITAL

Pada 5 Mei tahun lalu, Wee menjadi agresif semasa dia dimasukkan ke dalam wad SGH. Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak pula menyatakan mengapa dia dirawat di hospital. 

Seorang pegawai polis Certis Cisco, bersama dengan beberapa rakan kerjanya dan seorang pekerja SGH, cuba mengikat kaki Wee bagi mencegahnya daripada menendang seorang jururawat yang sedang memeriksa titisan intravenanya. 

Wee mengugut untuk mengadu tentang mereka di media sosial dan berkata mereka akan "hilang mata pencarian" jika dia berbuat demikian. Dia juga mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut akan menyaman mereka sebelum menendang pegawai polis itu pada bahagian dadanya. 

Beberapa jam selepas itu, Wee kemudian duduk dan menggigit sekatan pada tangannya ketika seorang penolong jururawat sedang memeriksanya.

Apabila jururawat itu cuba menghalangnya, Wee mula menjerit dengan kata-kata kesat dan mencabar mangsa untuk menghalangnya. 

Jururawat lelaki itu kemudian memberitahu Wee bahawa sebagai seorang Muslim, adalah bertentangan dengan agamanya untuk memukul orang lain. Wee kemudian membalas dengan kata-kata yang berbaur perkauman: "Aku akan cari kau di luar dan bunuh kau."

Wee juga menarik baju mangsa dan cuba menggigit tangannya. 

Pada keesokan harinya, Wee menumbuk seorang lagi jururawat pada bahagian muka ketika jururawat wanita itu sedang menyiapkan sekatan baru untuk Wee. Dia juga mengeluarkan kata-kata kesat terhadap jururawat wanita itu. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan