Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara; gigit, cekik dan ikat anaknya berusia 5 tahun

Seorang lelaki berulang kali menganiaya anaknya dengan menggigit mangsa yang ketika itu berusia lima tahun. Dia juga mengikat anaknya itu menggunakan tali basikal apabila kanak-kanak tersebut muntah dalam sebuah van setahun kemudian.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara; gigit, cekik dan ikat anaknya berusia 5 tahun

Gambar hiasan penderaan budak (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 10 Aug 2021 09:14PM Dikemas Kini : 10 Aug 2021 09:16PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berulang kali menganiaya anaknya dengan menggigit mangsa yang ketika itu berusia lima tahun. Dia juga mengikat anaknya itu menggunakan tali basikal apabila kanak-kanak tersebut muntah dalam sebuah van setahun kemudian.

Lelaki tersebut turut mengangkat budak itu, mencekik dan menggoncangnyadengan tangan masih memegang leher kanak-kanak berkenaan. Isteri lelaki itu kemudian menikamnya di bahagian dada dalam satu pertengkaran berasingan.

Lelaki berusia 36 tahun itu, yang tidak boleh disebut namanya untuk melindungi identiti mangsa, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan didenda S$4,500 pada Selasa (10 Ogos).

Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan termasuk secara sengaja menyebabkan kecederaan dan berlaku kasar terhadap kanak-kanak, dengan lima pertuduhan lain dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh mempunyai dua anak lelaki bersama isterinya.

Pada 29 November 2018, pasangan itu membawa kedua-dua anak mereka ke poliklinik untuk menjalani vaksinasi. Semasa bermain, anak sulung mereka menggigit adiknya di bahagian paha.

Apabila tertuduh mendapat tahu, dia naik marah dan memutuskan untuk mendisiplin anak sulungnya itu. Mahkamah diberitahu dia merotan anak sulungnya yang berusia lima tahun dan menggigitnya di bahagian paha, supaya dia dapat rasa "betapa sakitnya apabila digigit".

Pada 4 Disember 2018, ketika pasangan itu membawa anak lelaki sulung mereka ke hospital untuk janji temu yang dirancang, kakitangan perubatan menahannya di hospital kerana bimbang tentang kecederaan akibat perbuatan yang disengajakan.

Polis dimaklumkan setelah seorang jururawat staf melihat tertuduh bertindak kasar dengan menarik kanak-kanak itu, memaksanya untuk berbaring dan menahan kaki budak berkenaan.

Doktor yang memeriksa budak itu mendapati kecederaan termasuk luka dan lebam, serta diberitahu penjelasan yang tidak konsisten tentang bagaimana kecederaan itu berlaku.

Pada 23 Mac 2019, tertuduh sedang memandu vannya ke kawasan perumahan Toh Guan bersama isteri dan anak sulungnya apabila dalam perjalanan itu, budak berkenaan muntah di dalam van.

Tertuduh naik berang dan mula berteriak dan bertekak dengan isterinya. Setelah menghentikan kenderaan di jalan raya kecil, tertuduh beredar untuk mengambil beberapa bungkusan sementara isterinya membersihkan anak dan tempat duduk mereka.

Setelah dia kembali, lelaki itu membantu menyalinkan pakaian budak lelaki itu dan membersihkan muntah. Namun, dia semakin marah dengan anaknya, yang menangis dan menjerit untuk bermain telefon ibunya.

Ibu kanak-kanak tersebut sedang berdiri di luar van ketika itu. Tidak lama kemudian, tertuduh mengangkat anaknya dengan satu tangan di bahagian depan lehernya dan sebelah lagi tangan di belakang budak itu.

Dia mengangkat budak itu sehingga membuatnya tercekik, sebelum meletakkan kanak-kanak itu kembali di lantai. Dia kemudian meletakkan kedua tangannya di leher anaknya itu dan menggoncangnya, menyebabkan kanak-kanak itu rasa sakit sehingga menangis dan menjerit.

Lelaki itu kemudian memarahi anaknya dan berkata bahawa dia membencinya. Seorang penduduk berhampiran melihat apa yang berlaku dan menelefon polis.

Tertuduh menggunakan tali basikal dengan cangkuk untuk mengikat tangan anaknya di dalam van, sebelum memandu ke Faber Walk. Kanak-kanak itu meronta-ronta untuk dilepaskan hingga salah satu giginya tercabut.

Polis berjaya mengenal pasti tertuduh menerusi nombor pendaftaran van yang diberikan oleh saksi.

Apabila tertuduh dan isterinya membawa anak sulung mereka ke hospital pada keesokan hari, beberapa kecederaan ditemui pada kanak-kanak itu. Ini termasuk: Enam kesan lebam di lengan, gigi yang tercabut dan kesan melecet di lengan, leher dan bibirnya. Kanak-kanak itu berusia enam tahun ketika kesalahan berlaku.

Dia dimasukkan ke hospital selama beberapa hari dan kemudian diletakkan di bawah jagaan neneknya.

MANGSA DINILAI PUNYAI MASALAH TUMBESARAN

Mangsa diletakkan di MINDSville selepas kejadian itu dan dinilai mempunyai masalah 'global developmental delay', iaitu keadaan di mana seorang kanak-kanak lambat mencapai tahap tumbesaran biasa mengikut usianya.

Dia diletakkan di bawah Program Intervensi Awal bagi Kanak-Kanak dan pada awalnya bersikap agresif dan mengganggu, namun mahkamah diberitahu kelakuannya lama-kelamaan bertambah baik.

Pada 28 Jul 2019, tertuduh bertengkar dengan isterinya yang menuduhnya bermain kayu tiga.

Apabila pertengkaran menjadi semakin buruk, lelaki itu mencampak kerusi plastik ke arah isterinya, tetapi tidak terkena. Wanita itu dengan marah menyerangnya dan menggigit bahu suami beliau.

Lelaki itu bertindak balas dengan menggigit tangan isterinya dan kemudian menelefon polis. Isterinya pergi ke dapur, mengambil pisau dan menikamnya sekali di bahagian dada.

Pegawai polis di tempat kejadian memisahkan pasangan itu dan menahan mereka. Mereka dirawat di hospital dengan beberapa kecederaan termasuk tanda gigitan, lebam dan luka tikaman 3 sentimeter di dada tertuduh.

Kes terhadap wanita itu belum lagi selesai. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan