Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara; cuba seludup 58 kura-kura spesies terancam ke Indonesia melalui Changi

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara; cuba seludup 58 kura-kura spesies terancam ke Indonesia melalui Changi

Kura-kura bintang India yang ditemui disembunyikan dalam beg berikutan pemeriksaan oleh pegawai ICA di Lapangan Terbang Changi pada 29 Ogos 2024.(Gambar: NParks)

Diterbitkan : 11 Dec 2024 06:08PM Dikemas Kini : 11 Dec 2024 06:09PM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang melakukan persinggahan di Singapura pada Ogos lalu telah ditangkap di Lapangan Terbang Changi kerana menyeludup 58 kura-kura bintang India di dalam bagasinya.

Warga India, Abdul Jaffar Haji Ali pada Selasa (10 Dis) dihukum penjara selama 16 bulan selepas dia disabitkan dengan kesalahan mengimport spesies terancam secara haram ke Singapura.

Kura-kura bintang India disenaraikan sebagai spesies yang sangat terancam dalam Lampiran I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES). Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), spesies sedemikian berisiko pupus jika perdagangannya tidak dikawal dengan sewajarnya.

Menurut dokumen mahkamah, kura-kura itu ditemui dalam balutan kain di dalam beg pakaian milik Abdul Jaffar.

Dia sedang menunggu penerbangannya ke Jakarta pada 29 Ogos selepas melakukan penerbangan dari Chennai, dengan bagasinya disaring oleh para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Kura-kura itu ditemui selepas beg Abdul Jaffar dibuka. Penemuan itu kemudian dirujuk kepada NParks bagi siasatan lanjut.

Haiwan berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Pusat Pemulihan Hidupan Liar.

Daripada 58 kura-kura itu, seekor daripadanya ditemui mati. Walaupun ia tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan atau penyakit yang jelas, ia dinilai sangat kurus. Lagi 22 yang lain juga didapati kurus dan selebihnya didapati mempunyai berat badan yang boleh diterima.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Abdul Jaffar tidak mempunyai permit sah yang dikeluarkan oleh ketua pengarah kawalan pemerdagangan hidupan liar untuk mengimport spesies terancam ke Singapura.

Siasatan mendapati Abdul Jaffar merancang pergi ke Jakarta untuk bercuti dan membeli pakaian wanita untuk perniagaannya di India.

Seorang rakannya, yang identitinya didedahkan dalam dokumen mahkamah sebagai Bhai, melakukan semua perancangan untuk perjalanannya dan membiayai kos tiket penerbangannya.

Sebagai ganti, Bhai meminta Abdul Jaffar membantu membawa beg pakaian, yang kandungannya telah disusun oleh Bhai, ke Jakarta di mana seorang individu akan mengambil bagasi tersebut daripadanya.

Abdul Jaffar tidak pernah menanyakan Bhai tentang kandungan bagasi itu, walaupun selepas Bhai memaklumkannya mengenai perampasan kura-kura bintang di India melalui kiriman teks.

Pada pagi 28 Ogos, iaitu hari Abdul Jaffar dijadual melakukan perjalanan itu, Bhai memaklumkannya bahawa beg itu mengandungi pakaian wanita. Sungguhpun demikian, Abdul Jaffar sekali lagi tidak mengesahkan perkara itu dan terus menaiki pesawat.

Ini sekalipun tertuduh mempunyai peluang yang mencukupi untuk memeriksa dan mengesahkan kandungan beg itu sendiri di hadapan Bhai, menurut dokumen mahkamah.

Mengenai kes itu, NParks menegaskan bahawa Singapura tidak membenarkan haiwan tertentu dijadikan sebagai haiwan peliharaan atas beberapa sebab.

Ini kerana hidupan liar boleh membawa penyakit dan menyebarkannya kepada manusia dan haiwan domestik, manakala haiwan liar boleh mengganggu ekosistem dan mengancam penakatan spesies terancam.

NParks turut mendedahkan bahawa keadaan hidup yang tidak sesuai, diet yang tidak baik dan kekurangan pengetahuan pemilik haiwan tentang cara menjaga haiwan eksotik dengan betul boleh menjejaskan kebajikannya, manakala haiwan peliharaan eksotik mungkin memberi kesan negatif terhadap biodiversiti asli Singapura jika ia dilepaskan ke alam liar.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan