Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara; berpakat peras ugut rakan kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara; berpakat peras ugut rakan kerja

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Dua orang lelaki memutuskan untuk mempersendakan rakan kerja mereka dengan menyamar sebagai wanita setelah mendapat tahu bahawa rakan kerja mereka itu baru sahaja menerima bayaran insurans yang besar dan 'pantang nampak wanita dahi licin'.

Gurau senda itu bagaimanapun bertukar menjadi jenayah apabila mereka berdua berpakat untuk memeras ugut S$4,000 daripada mangsa selepas berjaya memperdayakan mangsa untuk menghantar gambar bogelnya.

Warga Malaysia, Rajakumar Sumugam, 50 tahun dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan empat bulan pada Jumaat (14 Jan) atas peranannya dalam jenayah tersebut. 

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat untuk melakukan peras ugut. 

Rakan subahatnya, Sarvanan Ellankovan, 36 tahun dikenakan hukuman penjara selama dua tahun dan tiga bulan dan satu sebatan rotan pada November. 

Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua lelaki itu sedang minum bersama rakan kerja mereka pada 14 Nov 2020 apabila mereka mula berbual mengenai mangsa, seorang lelaki berusia 51 tahun.

Beberapa hari kemudian, Sarvanan dan Rajakumar berpakat untuk memeras ugut mangsa.

Sarvanan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp dan menyamar sebagai seorang wanita bernama Priya. Dia menggoda mangsa dengan menghantar gambar-gambar wanita bogel yang diperolehinya secara online sekitar 30 Nov 2020.

Mangsa kemudian membalas dengan menghantar lapan gambar bogel dan lapan video intim dirinya. Muka dan alat sulit mangsa dapat dilihat melalui gambar dan video yang dihantar itu.

Sarvanan kemudian menyimpan gambar dan rakaman video tersebut.

Pada 1 Dis 2020,  Rajakumar menyuruh Sarvanan  menelefon mangsa dan menyamar diri sebagai suami Priya dan memeras ugut S$10,000 daripada mangsa kerana 'menggatal' dengan isterinya. 

Dia mengancam akan menyebarkan gambar bogel mangsa.  Mangsa kemudian memindahkan S$4,000 ke dalam akaun bank POSB Sarvanan pada awal Disember 2020.

Sarvanan memberikan S$1,100 kepada Rajakumar.

Mangsa membuat aduan polis pada 7 Dis 2020. Sehari kemudian, Saravan menuntut mangsa membayar baki wang sebanyak S$6,000 tetapi mangsa berkata dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Sarvanan dan Rajakumar diberkas pada hari yang sama dan ditahan reman.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya selama dua tahun dan tiga bulan. Rajakumar boleh disebat atas kesalahan itu tetapi terlepas daripada hukuman tersebut kerana dia sudah berusia 50 tahun. Pendakwa mengusulkan hukuman penjara sebagai ganti bagi hukuman sebat.

Dalam rayuannya, peguam bela Rajakumar berhujah anak guamnya hanya mendapat S$1,000 daripada peras ugut itu. Jenayah itu dirancang oleh Sarvanan dan Rajakumar melakukan kesalahan yang lebih ringan, menurut peguam bela.

Daripada hukuman penjara selama dua tahun dan empat bulan yang dijatuhkan terhadap Rajakumar, satu bulan adalah sebagai ganti kepada hukuman sebat.

Atas kesalahan bersubahat untuk melakukan peras ugut, dia boleh dihukum penjara antara dua hingga tujuh tahun.

Sumber : CNA/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan