Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara atas kesalahan bigami kerana nikahi amah di Batam

Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, seorang lelaki menjalin hubungan dengan seorang pembantu rumah yang dikenalkan kepadanya, sebelum mengahwini wanita itu di Batam.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara atas kesalahan bigami kerana nikahi amah di Batam

Low Kok Peng tiba di Mahkamah Negara pada 24 Apr 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 24 Apr 2026 02:35PM Dikemas Kini : 24 Apr 2026 02:36PM
SINGAPURA: Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, seorang lelaki menjalin hubungan dengan seorang pembantu rumah yang dikenalkan kepadanya, sebelum mengahwini wanita itu di Batam.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendapat tahu mengenai kes bigami (beristeri dua) tersebut dan memaklumkan perkara itu kepada polis, yang kemudian memberkas lelaki dan amah berkenaan.

Low Kok Peng, seorang lelaki warga Singapura berusia 61 tahun, dihukum penjara dua bulan pada Jumaat (24 Apr). Dia mengaku bersalah atas tuduhan melakukan bigami di bawah Piagam Wanita.

Tertuduh bersama, rakyat Indonesia berusia 50 tahun, Komariah sepatutnya mengaku bersalah pada Jumaat, namun ia tidak diteruskan setelah dia mendakwa bahawa dia tidak menyedari bahawa Low sudah pun berkahwin sehingga siasatan dijalankan.

RENTETAN KES

Mahkamah diberitahu bahawa Low pada 1992 berkahwin dengan isterinya, seorang wanita rakyat Singapura kini berusia 55 tahun.

Perkahwinan mereka masih sah dan mereka mempunyai seorang anak perempuan.

Pada 2016, kira-kira 24 tahun setelah mendirikan rumah tangga, seorang teman Low memperkenalkannya kepada Komariah.

Pada ketika itu, dia sedang bekerja di Singapura sebagai seorang pembantu rumah dan mempunyai permit kerja.

Low mula menjalin hubungan cinta dengan Komariah. Pada 2024, dia ke Batam, Indonesia untuk bernikah dengan Komariah.

Sewaktu dia bernikah, Low tahu bahawa isteri pertamanya masih hidup dan perkahwinan mereka masih sah.

Komariah juga dipercayai tidak mendapat izin daripada pengawal pas kerja untuk berkahwin dengan Low.

Ia merupakan pelanggaran syarat pas kerjanya.

Isteri pertama Low tidak mengetahui tentang perkahwinan keduanya, yang sehingga hari ini masih belum dibatalkan.

Mereka pulang ke Singapura dan Low tinggal bersama isteri pertamanya.

Aduan polis dibuat pada lewat Januari tahun ini setelah MOM menyerahkan maklumat mengenai kes disyaki bigami.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara selama dua hingga tiga tahun, sambil menyatakan pencegahan adalah pertimbangan hukuman yang dominan.

Timbalan Pendakwa Raya Ryan Lim berkata bigami sering menyebabkan akibat yang serius walaupun ia tidak berlaku dalam kejadian itu.

'PEMBOHONGAN BERTERUSAN'

Beliau berkata Low berbohong secara terus-menerus kepada isteri pertamanya.

Kesalahan itu juga dirancang bagi mengelakkannya daripada dikesan di Singapura.

Tempoh kesalahan itu juga dilakukan agak lama, kata Encik Lim.

Low tidak berkata apa-apa dalam mitigasi. Dia juga tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Dalam respons kepada dakwaan Komariah bahawa dia tidak tahu-menahu bahawa Loh sudah berkahwin pada ketika itu, Encik Lim berkata pendirian pihak pendakwa adalah wanita itu mengetahui Lim sudah berkahwin sepanjang tempoh dia mendirikan rumah tangga dengan Lim.

Kes Komariah ditetapkan untuk persidangan praperbicaraan.

Selain daripada tuduhan sama bagi kesalahan bigami, dia berdepan tuduhan kedua kerana melanggar syarat pas kerjanya dengan mengahwini Low tanpa mendapatkan izin.

Hukuman bagi kesalahan bigami adalah hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga S$10,000.

Mediacorp sudah pun menghubungi MOM bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita