Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara ambil teman wanita sebagai amah, lanjutkan tempoh tinggalnya di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara ambil teman wanita sebagai amah, lanjutkan tempoh tinggalnya di SG

Faizal Farid (kiri) dan Sotto Jennie Villaron (kanan) masing-masing meninggalkan Mahkamah Negara pada 13 Oktober 2025 dan 1 September 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman/Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Oct 2025 11:27PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 11:29PM
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura, yang mengambil teman wanitanya sebagai pembantu rumahnya menerusi perjanjian kontrak untuk membantunya melanjutkan tempoh tinggalnya di Singapura, dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada Isnin (13 Okt).

Faizal Farid, 45 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan membuat kenyataan palsu kepada pengawal pas kerja di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing.

Satu lagi tuduhan membenarkan teman wanitanya menjadi pengasuh sambilan, yang bermakna membantunya menjadi warga asing yang bekerja sendiri tanpa pas kerja yang sah, turut dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Faizal menjalin hubungan cinta dengan soerang wanita Filipina Sotto Jennie Villaron, kini berusia 37 tahun, pada 2021.

Jennie sedang bekerja sebagai pembantu rumah hijrahan dengan permit yang sah pada waktu itu.

Pada awal Februari 2024, Jennie memberitahu Faizal bahawa majikannya tidak lagi ingin mengambilnya bekerja.

Dia bertanya sama ada dia boleh memindahkan pekerjaannya supaya dia boleh diambil bekerja di bawah nama Faizal dan mengesahkan keberadaannya di Singapura.

Faizal bersetuju pada 28 Februari 2024 dan mengemukakan permohonan bagi pembantu rumah kepada pengawal pas kerja untuk mendapatkan permit kerja.

Dalam permohonan itu, dia mengisytiharkan bahawa dia akan mengambil Jennie sebagai pembantu rumahnya, walaupun dia tidak berniat untuk berbuat demikian.

Permit kerja diberikan kepada Jennie pada 9 Mac 2024.

Selama hampir empat bulan dari awal Mac 2024 hingga awal Julai 2024, Jennie tinggal di rumah Faizal "sebagai teman wanitanya" selama empat hingga lima malam seminggu. Dia tidak melakukan sebarang tugas pembantu rumah di rumahnya, kata pendakwa.

Sebaliknya, Jennie bekerja sebagai pengasuh bayi untuk orang lain dan menghabiskan dua hingga tiga malam seminggu di lokasi tersebut.

Faizal mengetahui hal ini dan memudahkan aturan dengan memberikan persetujuannya agar Jennie bekerja sebagai pengasuh bayi sambil mengekalkan permit kerja di bawah namanya, menurut mahkamah.

Pendakwa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memohon hukuman penjara empat minggu untuk Faizal, manakala peguam bela Encik Anil Singh Sandhu dan Encik Nurhan Sufi memohon dua minggu.

Encik Anil berkata Faizal sudah bercerai sejak 2008 dan merupakan satu-satunya penjaga kepada anak lelakinya.

Juruteknik operasi itu menyara dirinya dan anaknya, dan bertemu Jennie pada 2021 semasa tempoh COVID-19, kata peguam tersebut.

Jennie dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada 1 September atas peranannya dalam aturan palsu tersebut.

INI IDEA JENNIE: PIHAK PEMBELA

Encik Anil berkata Faizal "tidak memberi alasan" atas kesilapan yang dilakukannya, tetapi berkata bahawa Jennie yang mencadangkan idea tersebut dan Faizal pada mulanya menolaknya.

Walau bagaimanapun, dia "kesal" mengalah kepadanya selepas Jennie terus-menerus merayu.

Walaupun Jennie melakukan kerja-kerja rumah di rumah Faizal, ini dilakukan atas peranannya sebagai teman wanitanya dan bukan sebagai pembantu rumah, kata peguam itu.

Faizal juga membayar Jennie S$700 sebulan, walaupun kadangkala dia memberi bayaran lebih, dan dia membayar levi yang diperlukan sehingga permit kerja Jennie dibatalkan, kata Encik Anil.

Dia berkata kliennya bertindak "bukan kerana bersikap tamak atau niat untuk mengeksploitasi, tetapi kerana keinginan yang salah untuk membantu seseorang yang dia cintai".

Jennie juga adalah dalang di sebalik kesalahan itu dan menerima keuntungan kewangan daripada pekerjaan menjaga bayi, manakala Faizal tidak menerima sebarang faedah kewangan, menurut peguam itu.

Hakim berkata, memandangkan Jennie menerima hukuman penjara tiga minggu, Faizal harus menerima sekurang-kurangnya tiga minggu penjara dan menjatuhkan hukuman yang sama.

Atas kesalahan membuat kenyataan palsu kepada pengawal pas kerja, Faizal boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita