Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara 3 minggu; buat perisytiharan palsu bagi elak SHN di kemudahan khas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki pada Selasa (14 Jun) dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu kerana membuat perisytiharan palsu bagi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN). Ini supaya dia boleh menjalani SHN di rumah dan bukan di kemudahan yang dikhususkan.

Lu Yi Yin, 49 tahun, terbang ke Taiwan pada 17 Feb 2021 dan pulang ke Singapura pada 14 Jul tahun lalu.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Sebanyak dua kali, dia mengisytiharkan secara palsu bahawa dia akan duduk sendirian di kediamannya atau bersama dengan anggota keluarga yang mempunyai sejarah perjalanan dan tempoh SHN yang sama.

Ketika itu, rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang hanya melawat Taiwan dalam tempoh 21 hari sebelum mereka berangkat ke Singapura boleh memilih untuk tidak menjalani SHN di kemudahan-kemudahan yang disediakan jika mereka memenuhi syarat-syarat tersebut.

Lu, seorang PR, membuat perisytiharan palsu itu dalam borang online sebelum berangkat dari Taiwan. Dia dimaklumkan bahawa permohonannya diluluskan.

Setibanya di Lapangan Terbang Changi, dia sekali lagi membuat perisytiharan dalam borang fizikal meskipun tahu bahawa maklumat itu palsu.

Semasa di lapangan terbang, seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) juga mengingatkan Lu tentang syarat-syarat tidak menjalani SHN di kemudahan yang dikhususkan dan butiran ini juga diberikan dalam SHN yang dikeluarkan kepadanya.

Pada 15 Jul 2021, para pegawai ICA dimaklumkan oleh markas SHN ICA bahawa Lu telah membuat perisytiharan palsu.

Semasa pemeriksaan dijalankan di rumahnya pada hari tersebut, para pegawai mendapati isteri dan anak perempuan Lu tinggal di kediaman yang sama. Mereka bagaimanapun tidak mempunyai sejarah perjalanan yang sama dengan Lu dan tidak menjalani tempoh SHN yang sama.

Lu diuji negatif COVID-19 pada hari itu.

Timbalan Pendakwa Raya Foong Ke Hui mengusulkan hukuman penjara, sambil menambah ia perlu bagi mencegah kesalahan serupa. Beliau juga berkata Lu mempunyai beberapa peluang untuk memperbetulkan kesilapannya tetapi tidak berbuat demikian.

Peguam Lu, Chua Hock Lu sebaliknya mengusulkan hukuman denda, sambil menambah Lu mengambil langkah untuk "mengurangkan" risiko penularan COVID-19 dengan tidak berhubungan dengan anggota keluarganya.

Timbalan Hakim Daerah Luke Tan menarik perhatian Lu melakukan kesalahan itu lebih setahun selepas Singapura dilanda COVID-19.

Beliau berkata Lu juga diberikan peringatan berulang tetapi tetap memberikan perisytiharan palsu.

Beliau juga menarik perhatian kepada risiko mendedahkan dua orang lain yang tinggal di kediaman sama, dan tiada petunjuk yang mereka duduk di rumah sahaja.

Sumber : CNA/IM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan