Skip to main content

Singapura

Lelaki dihukum penjara 26.5 tahun, rogol & dera seksual anak perempuannya selama 13 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara 26.5 tahun, rogol & dera seksual anak perempuannya selama 13 tahun

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 29 Jun 2022 12:02AM Dikemas Kini : 29 Jun 2022 10:59AM
SINGAPURA: Anak perempuannya hanya berusia lapan tahun apabila dia mula menjadi mangsa rogol bapanya di flat HDB tiga bilik mereka.

Lelaki itu terus mendera secara seksual anaknya selama 13 tahun meskipun dirayu mangsa supaya ia dihentikan.

Mangsa akhirnya memberitahu teman lelakinya.

Bapa mangsa yang namanya tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah untuk melindungi identiti remaja tersebut, dijatuhi hukuman penjara 26 setengah tahun pada Isnin (27 Jun) di Mahkamah Tinggi.

Lelaki Singapura berusia 63 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan rogol bawah umur dan satu tuduhan serangan seksual serius dengan penembusan, serta dua tuduhan rogol serius.

Lagi 22 tuduhan serupa diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa itu merupakan anak tunggal lelaki itu daripada perkahwinan keduanya dan mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan sebelum itu.

Anak perempuannya itu mempunyai bilik sendiri, tetapi dia sekali-sekala tidur bersama ibu bapanya kerana bilik budak perempuan itu tiada ada alat penghawa dingin.

Ibu mangsa sering bekerja syif siang, manakala waktu kerja bapanya fleksibel.

Lelaki itu mula mendera secara seksual anak perempuannya pada Disember 2007 ketika mangsa dalam Darjah 2.

Dia merogol mangsa buat pertama kali pada bulan seterusnya dan terus menderanya secara seksual sehingga Ogos 2020 apabila mangsa berusia 21 tahun.

Pihak pendakwa memohon hukuman sekurang-kurangnya 28 tahun, menegaskan bahawa mahkamah perlu memberi isyarat jelas "untuk mencegah mana-mana pemangsa yang berpotensi bertindak mengikut keinginan buas mereka".

"Bagi seorang anak, ibu bapa adalah pelindung mereka.

"Dalam kes ini bukan sahaja seorang ayah gagal melindungi anak perempuannya, dia juga menjadikannya mangsa nafsu buas," tambah pihak pendakwa.

Mereka yang disabit kesalahan merogol boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, didenda atau disebat. Mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas tidak boleh disebat di bawah undang-undang Singapura.
Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita