Lelaki dihukum penjara 12 tahun tikam bekas temanita sampai mati

(Gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 37 tahun dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun pada Rabu (21 Sep) setelah dia menikam bekas temanitanya sehingga mati di Jurong East pada Februari 2021.
Zheng Xianfeng menyerang bekas temanitanya, Tham Mee Yoke, dan terus menghayunkan pisau ke arah mangsa walaupun seorang lelaki yang menaiki alat mobiliti peribadinya (PMD) bergerak ke arah Zheng untuk cuba menghentikan serangan tersebut.
Tham meninggal dunia akibat kecederaannya setelah dibawa ke hospital.
Zheng, seorang warganegara China, dihukum penjara pada Rabu (21 Sep) setelah dia mengaku bersalah atas satu tuduhan membunuh tanpa niat yang tidak membawa kepada pembunuhan Tham.
Empat tuduhan lain, termasuk menyebabkan gangguan ketika mabuk, mencederakan saudara lelakinya serta mencederakan Tham menggunakan pisau lipat dalam satu insiden sebelum itu, dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
"Tertuduh menghantarkan mesej kepada mangsa, menyatakan mangsa kelihatan gembira selepas mereka berpisah, manakala dia pula tidak gembira dan kesunyian," Timbalan Pendakwa Raya Teo Lu Jia memberitahu mahkamah.
Zheng menogok minuman keras sebelum meninggalkan rumahnya dengan sebilah pisau sepanjang 26.5 sentimeter yang disimpan di seluarnya. Dia membeli makanan ringan dan lebih banyak minuman keras sebelum minum di tempat awam.
Sekitar pukul 10.00 malam, Zheng menuju ke sebuah ruang penduduk berdekatan rumah mangsa dan terus menogok minuman keras sambil menantikannya kehadiran wanita itu.
Mangsa tiba di kolong Blok 308 Jurong East Street 32 sekitar tengah malam.
Tiga lelaki yang berada di kawasan tersebut terlihat Zheng berjalan dengan pantas ke arah Tham. Salah seorang daripada mereka menghubungi polis apabila beliau ternampak pisau yang disimpan di seluar Zheng.
Tham mengangkat tangannya sambil mengundurkan diri dari Zheng. Zheng kemudian mengeluarkan pisau itu dan mula menikam Tham beberapa kali di bahagian dada serta perut.
Salah seorang daripada tiga saksi itu menggerakkan PMD yang dinaikinya ke arah Zheng untuk cuba menghentikan perbuatannya.
"Disebabkan kesan itu, tertuduh menghentikan seketika serangannya tetapi selepas itu, dengan pantas menyambung semula untuk menikam mangsa di bahagian atas tubuhnya. Tertuduh berulang kali menikam mangsa di bahagian dada dan perutnya dengan niat untuk menyebabkan kematiannya," hujah Cik Teo.
Teriakan Tham menarik perhatian enam lagi penduduk, dengan beberapa di antara mereka menghubungi polis.
Anggota paramedik membawa Tham ke Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana dia meninggal dunia akibat kecederaannya sekitar pukul 1.30 pagi pada 17 Februari 2021.
Laporan bedah siasat menunjukkan Tham mengalami sekurang-kurangnya 19 luka tikaman dan 10 luka kelar selain patah tiga tulang rusuk.
Zheng diberkas para pegawai polis dan sampel darahnya diambil. Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu dalam keadaan mabuk alkohol akut ketika melakukan kesalahan.
Tertuduh dinilai di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan didiagnos dengan gangguan kemurungan yang teruk.
Atas kesalahan membunuh tanpa niat yang tidak membawa kepada pembunuhan, Zheng boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan dirotan, atau dipenjara sehingga 20 tahun, didenda atau dirotan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.