Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum penjara 12 bulan; lakukan hubungan seks dengan budak lelaki bawah umur

Sebagai ganjaran kerana membelikan kad telefon prabayar untuk seorang budak bawah umur, seorang lelaki berusia 26 tahun mengadakan hubungan seks dengan remaja berusia 15 tahun itu yang dikenalinya menerusi aplikasi mencari pasangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum penjara 12 bulan; lakukan hubungan seks dengan budak lelaki bawah umur

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 17 Sep 2021 05:34PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 05:37PM

SINGAPURA: Sebagai ganjaran kerana membelikan kad telefon prabayar untuk seorang budak bawah umur, seorang lelaki berusia 26 tahun mengadakan hubungan seks dengan remaja berusia 15 tahun itu yang dikenalinya menerusi aplikasi mencari pasangan.

Htut Phyo Wai, warga Singapura berusia 26 tahun, pada Jumaat (17 Sep) dihukum penjara 12 bulan kerana mengadakan hubungan seks dengan seorang remaja lelaki pada 2019.

Htut mengaku bersalah atas satu tuduhan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur. Tiga lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mangsanya, remaja warga Singapura yang kini berusia 17 tahun, tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Emily Koh memberitahu mahkamah bahawa mangsa memuat turun Grindr, applikasi yang popular dalam kalangan lelaki homoseksual, pada 2018 dan mula berkomunikasi dengan orang-orang yang tidak dikenali.

Budak itu mengetahui daripada perbualan di aplikasi itu bahawa dia boleh memperolehi wang dengan menawarkan layanan seks.

Htut juga mula menggunakan Grindr pada 2018.

Pada April 2019, mangsa memuat naik catatan di Grindr yang mengatakan bahawa dia memerlukan kad prabayar SIM bagi telefon bimbitnya.

Htut kemudian bertanya kepada budak lelaki itu apa yang dia boleh dapat sebagai ganjaran kerana memberikan kad prabayar itu.

Mahkamah diberitahu, budak itu menjawab dengan mengatakan bahawa Htut boleh melakukan "apa saja yang dia mahu".

Mereka bertemu pada 12 Apr 2019. Pada hari itu, Htut membelikan kad SIM daripada sebuah kedai runcit di Lapangan Terbang Changi sebelum menuju ke rumah remaja tersebut.

Apabila bertemu dengannya, dia menanyakan umur remaja tersebut. Budak itu mendedahkan bahawa dia berusia 15 tahun, sebelum mereka kemudian mengadakan hubungan seks dalam bilik tidur budak itu.

Htut kemudian memberikan kad SIM kepada remaja berkenaan lalu beredar dari rumah remaja tersebut.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak pula mendedahkan bagaimana jenayah tersebut terbongkar.

DPP Koh mengusulkan hukuman penjara selama 12 bulan, sambil menegaskan bahawa perbuatan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur adalah satu jenayah di sisi undang-undang, tanpa mengira sama ada mangsa bersetuju ataupun tidak.

Htut boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan