Lelaki didenda terima rasuah dalam bentuk pekerjaan, caruman CPF bagi isteri daripada rakan niaga

Gambar fail: Jeremy Long/CNA
SINGAPURA: Seorang pengurus seksyen yang bertugas bagi syarikat lif Mitsubishi Elevator (Singapore) merupakan kawan rapat kepada seorang pengarah di sebuah firma yang menjalankan kerja-kerja subkontrak untuk Mitsubishi Elevator.
Namun, persahabatan tersebut mula melibatkan rasuah apabila pengarah itu mula melunaskan kerugian yang dialami pengurus terbabit akibat aktiviti judinya, dan bahkan, menawarkan kerja bergaji dan ada CPF kepada isteri pengurus tersebut.
Lee John Chieh, pengurus warga Singapura yang berusia 47 tahun, didenda S$20,000 oleh mahkamah daerah pada Selasa (23 Jan) selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan menerima suapan di bawah Akta Perlindungan daripada Rasuah.
Mahkamah diberitahu bahawa Lee merupakan pengurus seksyen di jabatan pemasangan dan ujian di Mitsubishi Elevator Singapore dan menguruskan operasi harian projek pemasangan lif.
Beliau berkenalan dengan yang tertuduh bersama Yu Zhongjian, seorang warga Singapura berusia 51 tahun, pada 2015 atau 2016 apabila syarikat MSP Lift Engineering, di mana Yu bertugas, merupakan subkontraktor untuk Mitsubishi Elevator.
Syarikat Yu menyediakan perkhidmatan pemasangan serta pembaikan lif bagi syarikat-syarikat lain termasuk firma Lee.
Kedua-dua lelaki tersebut menjadi rapat apabila mereka bekerja bersama mewakili syarikat masing-masing dalam Program Penggantian Lif Terpilih di Choa Chu Kang dan Ang Mo Kio, sebuah program pemerintah yang menggantikan lif lama dengan yang moden.
Pada pertengahan 2019 hingga hujung 2021, Lee pergi ke kira-kira 50 sesi judi dengan Yu serta rakan sekerja Yu di pejabat Yu.
Lee sering mengelak daripada memberitahu mana-mana rakan sekerja Yu mengenai pekerjaannya, kerana dia enggan mendedahkan bahawa dia mempunyai hubungan kerja dengan Yu.
Penjudi tersebut akan mengira kemenangan dan kerugian mereka pada hujung malam lalu membayar kerugian mereka secara tunai.
Semasa sekurang-kurangnya lima sesi tersebut, Lee tidak mempunyai wang tunai untuk membayar kerugiannya dan Yu akan campur tangan untuk membayarnya. Lee tidak pernah membayar balik wang itu, dan Yu tidak pernah memintanya kembali.
Bayaran itu malah, mencecah sekitar S$1,000.
TAWARAN PEKERJAAN
Pada Februari atau Mac 2020, Yu menyarankan kepada Lee agar isterinya yang tidak mempunyai pekerjaan, bertugas di syarikat Yu.
Dia mencadangkan gaji kecil berjumlah S$1,184, dengan caruman CPF. Yu membuat cadangan tersebut kerana pengambilan isteri Lee untuk bertugas, sebagai rakyat Singapura, akan membolehkan syarikat itu menerima sumbangan CPF yang boleh digunakan untuk memohon pekerja asing.
Yu memberitahu Lee bahawa isterinya hanya perlu ke pejabat kadang-kala sahaja, dengan sekadar berada di sana semasa pemeriksaan dijalankan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Isteri Lee bersetuju dengan saranan tersebut dan diambil bekerja oleh syarikat itu selama tujuh bulan antara April dengan Oktober 2020.
Sepanjang tempoh tersebut, dia menerima gaji S$8,288 dan caruman CPF S$3,836, untuk jumlah keseluruhan sebanyak S$12,124.
PROJEK JANGKA-LIF HDB
Pada 2021, syarikat Lee dilantik sebagai kontraktor Projek Projek Lif-Jangka ke-29 bagi Lembaga Perumahan (HDB) - sebuah projek bernilai S$40 juta yang melibatkan pemasangan 300 unit lif bagi projek HDB Bina Ikut Tempahan (BTO).
Pada hujung 2021, syarikat Lee sedang mempertimbangkan untuk memilih antara dua subkontraktor yang sedang bersaing - termasuk firma Yu - untuk memasang lampu pada lif tersebut.
Syarikat itu meminta Lee untuk menyediakan perbandingan antara lampu yang dijual kedua-dua syarikat tersebut.
Dalam analisis perbandingan yang dibentangkan, Lee mengatakan bahawa lampu daripada syarikat Yu lebih sesuai dari segi watt, mutu binaan dan saiz.
Dia mendakwa lampu oleh syarikat lain gagal memenuhi syarat-syarat ujian tertentu dan mengesyorkan syarikat Yu, meskipun lampu itu setiap satu berharga S$5 lebih daripada syarikat lain.
Selepas saranan yang salah itu dibuat, syarikat Lee mengesan kesalahan tersebut dan Lee dipecat pada bulan yang sama pada Disember 2021.
Syarikat tersebut akhirnya tidak membeli lampu daripada syarikat Yu.
Pada Jun 2022, Lee menyerahkan sejumlah S$12,124 kepada Biro Sisatan Amalan Rasuah (CPIB).
Kesalahan rasuah tersebut boleh membawa hukuman denda maksimum S$100,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.