Skip to main content

Singapura

Lelaki didenda serang wanita gara-gara tidak buka pintu lif untuknya

Apabila seorang wanita tidak membuka pintu lif untuknya, seorang lelaki berusia 51 tahun memasuki lif tersebut dengan menggunakan tongkatnya dan bertengkar dengan wanita berkenaan sebelum menyerangnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda serang wanita gara-gara tidak buka pintu lif untuknya

Gambar fail lif. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 27 Oct 2020 03:05PM Dikemas Kini : 27 Oct 2020 03:07PM

SINGAPURA: Apabila seorang wanita tidak membuka pintu lif untuknya, seorang lelaki berusia 51 tahun memasuki lif tersebut dengan menggunakan tongkatnya dan bertengkar dengan wanita berkenaan sebelum menyerangnya.

Seo Chye Sin didenda S$3,750 pada Selasa (27 Okt) setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan menggunakan kekerasan jenayah. Tuduhan ketiga turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Seo sedang menganggur ketika itu dan menggunakan tongkat dan pendakap buku lali disebabkan oleh keadaannya.

Dia dimasukkan ke hospital antara Jun 2015 hingga Ogos 2016 disebabkan oleh angin ahmar dan dia juga mengalami hemiplegia - kelemahan pada satu bahagian badan - ketika itu.

Pada sekitar 7.00 malam pada 27 Jan 2019, mangsa, seorang wanita berusia 49 tahun, memasuki lif di blok HDB di Choa Chu Kang.

Seo menuju ke lif tersebut dan memberitahu wanita itu supaya menunggunya, tetapi beliau menekan butang ke tingkat empat dan pintu itu mula ditutup.

Seo kemudian menggunakan tongkatnya untuk menghalang pintu lif itu daripada ditutup dan seterusnya memasuki lif lalu menekan butang ke tingkat 15.

Dia kemudian bertanya mangsa mengapa beliau tidak membuka pintu lif untuknya dan selepas itu mereka mula bertengkar.

Lif itu tidak berhenti di tingkat empat, di mana mangsa sepatutnya keluar, dan beliau menekan butang itu sekali lagi.

Seo memberitahunya untuk "tekan lebih kuat", dan kedua-dua mereka saling tenung-menenung antara satu sama lain, menurut Timbalan Pendakwa Raya Kathy Chu.

Apabila lif itu tiba di tingkat 15, Seo keluar dari lif, sebelum menghalang pintu lif daripada ditutup dan bertanya wanita itu "apa yang awak mahu".

Mereka mula berkelahi di lobi lif, dan tongkat Seo serta telefon bimbit wanita itu terjatuh di lantai.

Seo menolak wanita itu pada bahagian atas dadanya, dan beliau (wanita itu) kemudian menolaknya dan mengambil telefon bimbitnya.

Seo kemudian berkali-kali menumbuk kepala wanita berkenaan dan mangsa berteriak meminta bantuan. Isteri Seo dan anaknya terdengar kekecohan itu lalu bergegas ke lobi lif untuk mengasingkannya daripada mangsa.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan, Seo boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda S$5,000 atau kedua-duanya sekali. Atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah, dia boleh dijel sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,5000 atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita