Skip to main content

Singapura

Lelaki didenda serah dokumen palsu kepada Kastam S'pura

Ekbal Din Shaik Dawood, 52 tahun, adalah pemilik syarikat penghantaran Turino Export Import.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda serah dokumen palsu kepada Kastam S'pura

Rokok-rokok yang dihasilkan oleh British American Tobacco Cigarette Factory (BAT) di Bayreuth, Jerman pada 30 April 2014. (Gambar: REUTERS/Michaela Rehle)

Diterbitkan : 14 Jan 2021 03:23PM Dikemas Kini : 14 Jan 2021 03:24PM

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura hari ini (14 Jan) dikenakan denda S$6,000 sebagai ganti hukuman penjara 30 hari kerana menyerahkan dokumen-dokumen palsu kepada Kastam Singapura berkaitan dua penghantaran rokok.

Ekbal Din Shaik Dawood, 52 tahun, adalah pemilik syarikat penghantaran Turino Export Import.

Syarikat itu melakukan eksport bagi kedua-dua penghantaran rokok tersebut dari Singapura ke Britain dalam bulan Januari dan Februari tahun lalu, dan menyatakan dalam dokumen pengiriman barang (BLs) bahawa ia mengandungi serbuk Milo.

Bekalan kiriman tersebut kemudian didapati mengandungi 1,938 karton rokok dan dirampas oleh kastam di raja di Britain.

"Kastam Singapura memulakan siasatan dan meminta dokumen-dokumen daripada Turino berkaitan kedua-dua penghantaran," menurut agensi itu dalam satu kenyataan media.

"Ekbal menyerahkan dua BLs kepada Kastam Singapura, yang menyatakan bahawa penghantaran itu mengandungi rokok dan serbuk Milo," ia menambah.

"Kedua-dua BLs diserahkan oleh Ekbal kepada Kastam Singapura didapati berbeza daripada yang diberikan oleh syarikat perkapalan dan ejen tempahan, yang menyatakan penghantaran itu hanya mengandungi serbuk Milo."

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Ekbal menyerahkan dokumen-dokumen palsu mengikut arahan seorang lelaki yang tidak diketahui yang mendapatkan khidmatnya untuk menubuhkan Turino.

"Dengan membolehkan lelaki itu menggunakan Turino sebagai pengeksport kedua-dua penghantaran, Ekbal memudahkan penyeludupan antara negara bagi kedua-dua penghantaran rokok dari Singapura ke Britain," menurut Kastam Singapura.

Ketua Cabang Siasatan Perdagangan Kastam Singapura, Goh Hoon Lip, berkata usaha mengekang kegiatan sedemikian adalah kunci mengekalkan status Singapura sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang dihormati.

"Kastam Singapura tidak bertolak ansur sama sekali terhadap perbuatan menggunakan pelabuhan dan logistik kami bagi kegiatan penyeludupan antara negara," kata Encik Goh.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas pedagang yang ingkar bagi mengekalkan status Singapura sebagai hab perdagangan global yang dipercayai."

Atas kesalahan menyerahkan dokumen palsu kepada Kastam Singapura, Ekbal boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 atau jumlah yang sama dengan jumlah cukai dan GST yang dielakkan - bergantung kepada yang mana jumlahnya lebih tinggi - atau dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita