Skip to main content

Singapura

Lelaki didenda salah isytihar kargo tembakau, arak

Seorang lelaki didenda S$109,000 kerana gagal mengisytiharkan nilai betul puluhan ribu karton rokok dan botol arak yang dirampas oleh pihak kastam.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda salah isytihar kargo tembakau, arak

Produk-produk arak dan tembakau di Zon Perdagangan Bebas Keppel. (Gambar: Kastam Singapura)

Diterbitkan : 09 May 2019 04:18PM Dikemas Kini : 09 May 2019 04:23PM

SINGAPURA: Seorang lelaki didenda S$109,000 kerana gagal mengisytiharkan nilai betul puluhan ribu karton rokok dan botol arak yang dirampas oleh pihak kastam.

Sejumlah 186,817 karton rokok, 25,662 kilogram produk tembakau lain dan 57,464 botol arak dirampas dan diarahkan untuk dilucutkan hak oleh Mahkamah Negara, menurut Kastam Singapura pada Khamis (9 Mei).

Lim Boon Kheng, mantan pengarah syarikat penghantaran kargo Akarui, dikenakan hukuman pada 3 Mei kerana membuat pengisytiharan tidak betul kepada Kastam Singapura dan melanggar syarat permit.

Lim mengaku bersalah terhadap 26 tuduhan, sementara 44 lagi tuduhan diambil kira bagi pertimbangan hukuman.

Lim, 52 tahun, menyerahkan maklumat tidak betul kepada seorang ejen mengenai destinasi kiriman kargo produk-produk-produk rokok dan tembakau lain pada 2014, menurut Kastam Singapura. Ini menyebabkan ejen tersebut membuat tiga perisytiharan tidak betul kepada Kastam Singapura.

Antara 2016 hingga 2017, Lim menyediakan maklumat tidak betul dalam 13 permohonan permit kepada Kastam Singapura, termasuk butiran mengenai syarikat perkapalan, keterangan barangan dan jumlah barangan.

Dalam 10 insiden, Lim melanggar syarat permit yang menetapkan barangan boleh dikenakan cukai disimpan di tempat yang diluluskan oleh Kastam Singapura jika ia tidak dieksport. Lim menyimpan produk arak dan tembakau yang boleh dikenakan cukai di Zon Perdagangan Bebas Keppel setelah memunggah barangan itu dari gedung berlesen, dan tidak mengeksportnya, menurut Kastam Singapura.

Penolong Ketua Pengarah bagi Risikan dan Siasatan menambah: "Kastam Singapura akan mengambil tindakan tegas terhadap pedagang tidak bertanggungjawab untuk memelihara nama baik Singapura sebagai hab perdagangan global yang dipercayai."

Mereka yang didapati bersalah membuat pengisytiharan tidak betul atau tidak lengkap boleh didenda hingga S$10,000 atau jumlah cukai yang dielak. Mereka juga boleh dipenjara hingga 12 bulan.

Mereka yang melanggar syarat pelesenan atau permit boleh didenda hingga S$5,000.

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita