Lelaki didenda S$5,300 kerana rosakkan poster kempen & bendera PAP semasa GE2025
Seorang lelaki yang merosakkan poster kempen Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan memecahkan tiang bendera pada Hari Mengundi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) didenda S$5,300 oleh mahkamah pada Khamis (7 Ogos).
Seng Guan Heng, yang didakwa merosakkan poster-poster PAP di Hougang, tiba di Mahkamah Negara pada 4 Julai 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Seng Guan Heng, 57 tahun, memohon maaf kepada mahkamah atas "kesilapannya" dan berkata dia telah memutuskan untuk berhenti meminum arak disebabkan oleh insiden itu.
Seng mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan nakal, melakukan gangguan dengan memaki hamun sukarelawan PAP, dan mabuk di tempat awam. Dua lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
APA YANG BERLAKU
Mahkamah diberitahu bahawa Seng meminum lima hingga enam botol bir ketika bersama rakan-rakannya di sebuah kedai kopi di Blok 327, Hougang Avenue 5 pada 3 Mei lalu.
Dia meninggalkan kedai kopi itu dalam keadaan mabuk pada pukul 11.20 malam dan berjalan lalu di tempat letak kereta terbuka berhampiran di mana dia melihat sebuah lori yang digunakan oleh PAP untuk berkempen.
Lori itu dipasang dengan dua bendera PAP dan enam poster pilihan raya, ditampal pada pagar sisi kenderaan tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa Seng marah terhadap GE2025 dan berniat untuk menyebabkan kerosakan pada PAP.
Dia mengoyakkan lima poster daripada lori itu, menyebabkan koyakan kecil pada setiap poster, dan mencampakkannya ke tanah. Dia turut mengoyakkan dua bendera yang dipasang pada lori itu dengan memecahkan tiang bendera.
Secara keseluruhannya, barang-barang itu berharga kira-kira S$205.
Dia kemudian mengambil salah satu bendera dan berjalan di sekitar kawasan berkenaan sambil melaungkan kata-kata kesat sebelum mencampakkan bendera ke tanah dan meninggalkan kawasan tersebut.
Beberapa sukarelawan PAP ternampak perbuatan itu dan berkumpul di laluan berbumbung, dengan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka merakam perbuatan Seng.
Seng kembali beberapa minit kemudian. Apabila dia melihat sekumpulan sukarelawan PAP, dia melemparkan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien dan menuding jari tengahnya ke arah mereka.
Seorang ejen pilihan raya yang dilantik oleh PAP, yang bersama kumpulan itu, menghubungi polis untuk melaporkan apa yang berlaku.
PAP tidak menuntut pampasan bagi barangan yang rosak, menurut pendakwa raya.
Beliau berkata pihak pendakwa tidak akan membantah denda yang dikenakan terhadap Seng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.