Skip to main content

Singapura

Lelaki didenda S$5,000 selepas dirakam guna kata-kata kesat terhadap kakitangan Restoran Shashlik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 54 tahun, yang dirakam dalam video yang tular menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang kakitangan Restoran Shashlik, dikenakan denda maksimum S$5,000 di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan.

Sebuah video, yang tular pada Jun tahun lalu, menunjukkan Greg Austin Lynn menghamburkan kata-kata berbentuk cacian dan mengancam melakukan serangan seksual ke atas keluarga seorang pekerja lelaki di restoran menjual makanan Rusia dan Hainan, di Orchard Road.

Lynn, yang merupakan warga Amerika, mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan gangguan dan satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah kerana dipercayai menolak pemilik restoran itu.

Dua tuduhan lain sengaja menyebabkan gangguan dan enggan menandatangani kenyataan polis juga diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.

Meskipun dia sebelumnya merancang untuk mempertikaikan empat tuduhan yang dikenakan terhadapnya pada Ogos tahun lalu, Lynn sebaliknya memutuskan untuk mengaku bersalah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Negara pada Isnin (8 Jan) pada hari pertama perbicaraannya.

Lynn sebelum ini menolak tawaran peluang untuk mengemukakan rayuan dan memilih untuk dibicarakan bagi keempat-empat tuduhan.

Lynn juga memberitahu mahkamah bahawa perkara ini "sengaja dipanjangkan" untuk membebani dirinya.

APA YANG BERLAKU

Pada 18 Jun 2023, Lynn menghubungi restoran tersebut pada kira-kira 8.30 malam untuk bertanya mengenai waktu pesanan terakhir lalu diberitahu oleh pengurus restoran serta pemiliknya Tan Tong Kein bahawa pesanan terakhir akan diambil pada 9.00 malam.

Mahkamah diberitahu Encik Tan kemudian menghubungi Lynn sekali lagi untuk menekankan bahawa pesanan terakhir akan diambil pada 9.00 malam. Lynn bagaimanapun berasa kurang senang kerana diganggu oleh Encik Tan.

Meskipun dimaklumkan dua kali bahawa dapur restoran itu akan ditutup, Lynn tiba di restoran berkenaan pada kira-kira 9.08 malam dan menjadi marah selepas Encik Tan sekali lagi menjelaskan dapur sudah ditutup.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan di mahkamah, Lynn dilihat berdiri dan bercakap dengan mangsa itu, Encik Tan, sebelum menolaknya, sekali gus menyebabkan dia jatuh ke belakang.

Encik Tan kemudian meminta kakitangannya untuk menghubungi polis sedang Lynn terus bercakap dengan kuat dan menggunakan kata-kata kesat terhadapnya.

Kekecohan tersebut menarik perhatian seorang pegawai polis yang tidak bertugas di restoran berkenaan, yang cuba meleraikan situasi tersebut dengan membawa lelaki warga Amerika itu ke sebuah meja untuk duduk dengannya.

Lynn memberitahu mahkamah bahawa dia tidak membuat sebarang tempahan di restoran tersebut tetapi berharap bahawa dia dapat tiba di restoran itu tepat pada masanya untuk membuat pesanan terakhir.

Memandangkan Lynn tiba lewat, Lynn berkata bahawa dia tidak merancang untuk makan tetapi ingin meninjau restoran serta menu yang ditawarkan restoran demikian kerana dia sedang merancang untuk mengadakan sebuah parti berkait perang Ukraine-Rusia.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan gangguan dengan sengaja, boleh didenda sehingga S$5,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap orang lain, Lynn boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda S$1,000 atau kedua-duanya sekali.
 

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita