Lelaki didenda S$5,000, digantung lesen kerana pandu Porsche dengan 2 anak di atas but kereta
Prem Anan Sugunakumar (kiri) tiba di Mahkamah Negara untuk mengaku bersalah memandu bersama anak-anak lelakinya di atas but keretanya. (Gambar: CNA/Syamil Sapari, TikTok)
Prem Anan Sugunakumar, 40 tahun, seorang warga Singapura, berkata beliau berbuat demikian kerana menyangka ia akan menjadi "pengalaman yang menyeronokkan" untuk dua anaknya yang ketika itu berusia lapan dan tujuh tahun.
Beliau didenda S$5,000 dan diharamkan memandu selama enam bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan melulu yang membahayakan keselamatan orang lain.
Mahkamah diberitahu bahawa Prem sedar tindakannya akan membahayakan anak-anaknya.
Pada pagi 20 Oktober 2025, beliau memandu keretanya ke Dairy Farm Lane di Bukit Panjang.
Beliau mengangkat kedua-dua anaknya dan meletakkan mereka di but kereta, sambil menghadap ke arah belakang.
Beliau kemudian memandu pada kelajuan sederhana dengan kedua-dua kanak-kanak itu berada di atas but.
Isterinya merakam kejadian itu dan Prem kemudian memuat naik video tersebut ke TikTok.
Seorang pemandu lain yang menyaksikan kejadian itu membuat aduan polis pada hari yang sama.
Pihak pendakwa memohon hukuman denda maksimum S$5,000 serta lesen memandunya digantung selama enam bulan.
Pihak pendakwa menambah, kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan hanya kerana mereka bernasib baik dan Prem sengaja meletakkan mereka dalam keadaan berbahaya.
Pihak pembela pula berkata Prem sudah mengaku bersalah pada peringkat awal, sekali gus menunjukkan rasa menyesal dan mengakui tanggungjawabnya untuk melindungi anak-anaknya.
Semasa menjatuhkan hukuman, Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh berkata, beliau bimbang Prem seolah-olah tidak menghormati undang-undang lalu lintas.
Hakim Soh berkata, kesalahan itu amat serius, namun menerima hujah kedua-dua pihak bahawa hukuman penjara tidak wajar dijatuhkan.
Beliau mengingatkan Prem supaya tidak mengulangi tindakan melulu sedemikian pada masa hadapan.
Atas perbuatan melulu yang membahayakan keselamatan orang lain, Prem boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$2,500, atau kedua-duanya sekali.
Memandangkan kesalahan itu dilakukan terhadap kanak-kanak berusia bawah 14 tahun, hukuman maksimum yang dikenakan adalah seganda lebih tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.