Skip to main content

Singapura

Lelaki didenda S$1.14 juta, sediakan penginapan jangka pendek secara haram di 31 unit kediaman privet

Seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan “dalang utama” dalam operasi penyediaan penginapan jangka pendek secara haram di 31 kediaman privet didenda S$1.14 juta pada Isnin (15 Sep), menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda S$1.14 juta, sediakan penginapan jangka pendek secara haram di 31 unit kediaman privet

Pemandangan sebuah kompleks kediaman privet di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan “dalang utama” dalam operasi penyediaan penginapan jangka pendek secara haram di 31 kediaman privet didenda S$1.14 juta pada Isnin (15 Sep), menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Koh Guohui, Robin adalah salah seorang daripada enam lelaki rakyat Singapura berusia antara 33 hingga 81 tahun yang didapati bersalah kerana terlibat dalam operasi tersebut.

Dia dijatuhi hukuman pada Isnin, manakala lima lagi dijatuhi hukuman antara Ogos 2024 dan Mac 2025.

Secara keseluruhan, Koh bersama Lim En Xiang, Pandy, 33 tahun, Chew Lam Yong, 61 tahun, Low Ah Tee, 81 tahun, Chua Lian Beng, 71 tahun, dan Chow Yan Kit, Ryan, 34 tahun, dikenakan denda berjumlah S$1.27 juta.

Antara Julai 2019 hingga November 2021, Koh mengajak Lim, Chew, Low dan Chua menyertai operasi itu - menyediakan penginapan jangka pendek secara haram - dengan memberikan mereka gaji bulanan.

“Koh merupakan dalang utama di sebalik operasi ini dan juga pengarah tunggal sebuah syarikat berdaftar SG Auto Car Pte Ltd, yang digunakannya untuk menjalankan kegiatan haram ini,” menurut URA.

Syarikat itu dinamakan semula kepada SG Bizloan Consultant pada Julai 2021.

Lim, Chew, Low, Chua dan Chow turut berperanan sebagai pengarah tunggal bagi salah satu daripada empat syarikat - KCA, Edrich Group, Ed Werks Holdings dan ANZ Management Services - pada waktu yang berbeza.

Koh mengarahkan mereka untuk menandatangani perjanjian sewa atas kapasiti mereka sebagai pengarah syarikat bagi 31 unit kediaman privet yang diperolehnya.

Dia kemudian mengiklankan unit-unit itu di platform penginapan online seperti Airbnb dan HomeAway, menyewakannya bagi tempoh kurang daripada tiga bulan berturut-turut - tempoh minimum yang dibenarkan - sebagai pertukaran untuk bayaran sewa.

Bayaran tersebut disalurkan kepada Koh, yang menggunakan pelbagai akaun bank, nombor telefon bimbit serta akaun-akaun hos yang didaftarkan atas nama samaran di platform berkenaan untuk melancarkan operasi tersebut.

Menurut URA, kesalahan itu terbongkar selepas majlis pengurusan sebuah pembangunan kediaman privet membuat aduan kepada pihak berkuasa selepas mengesyaki salah satu unit yang disewa oleh Edrich Group digunakan sebagai penginapan jangka pendek.

Pihak berkuasa kemudian mengenal pasti skala operasi tersebut melalui maklum balas daripada penduduk dan ejen pengurusan pembangunan lain yang turut mempunyai unit-unit kediaman privet yang disewa Edrich Group.

Di bawah Akta Perancangan, tempoh minimum bagi sewaan hartanah kediaman privet ialah tiga bulan berturut-turut.

“Peraturan ini bertujuan mencegah pertukaran kerap dalam kalangan penghuni sementara, yang boleh menukar sifat kediaman sesebuah hartanah dan memberi kesan negatif kepada jiran tetangga,” menurut URA.

“Kami akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap individu dan entiti yang didapati terlibat dalam apa jua bentuk, sama ada memudahkan pemindahan hasil pendapatan atau mendapatkan hartanah dan penyewa,” kata Martin Tan, pengarah kumpulan kawalan pembangunan URA.

“Ini termasuk pendakwaan di mahkamah bagi kes-kes yang serius di mana kami juga akan menuntut hukuman yang bersifat pencegahan.”

Orang ramai boleh melaporkan kes-kes yang disyaki melibatkan penginapan jangka pendek secara haram di hartanah kediaman privet kepada URA.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita