Skip to main content

Singapura

Lelaki didenda S$1,000 kerana tanggalkan poster PSP semasa GE2020

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda S$1,000 kerana tanggalkan poster PSP semasa GE2020

(Gambar: Tan Cheng Bock/Facebook)

SINGAPURA: Seorang lelaki didenda S$1,000 pada Selasa (31 Jan) kerana menanggalkan poster Parti Kemajuan Singapura (PSP) daripada sebatang tiang lampu semasa Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020). 

Menurut peguam bela, anak guamnya tidak mampu membayar denda dan sebaliknya akan menjalani hukuman penjara selama empat hari . 

Constantine Paul, warga Singapura berusia 53 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menanggalkan poster di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA). 

Tiga lagi tuduhan turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman. 

Mahkamah diberitahu bahawa poster itu dipasang menggunakan pengikat kabel di atas dan bahagian bawah poster berkenaan. 

Pada 30 Jun 2020, Paul sedang mengayuh basikal apabila dia ternampak dua poster dengan logo PSP. 

Dia kemudian menanggalkan poster-poster itu daripada tiang lampu di Bukit Batok East Avenue 5 sebelum meninggalkan tempat tersebut. 

Seorang pegawai polis yang melakukan rondaan ternampak dua poster yang rosak  pada awal pagi keesokan harinya. 

Poster-poster berkenaan kemudian dihantar untuk siasatan forensik  dan cap jari yang dikesan pada poster tersebut sepadan dengan cap jari Paul. 

Identitinya dikenal pasti dan disahkan menyusuli siasatan menyeluruh dan dia diberkas di rumahnya. 

Peguam bela Stephania Wong yang mewakili Paul di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah, berhujah kesalahan yang dilakukan Paul bukan berbaur politik. 

Beliau berkata, Paul sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada hari itu apabila dia dipercayai ternampak seorang individu melemparkan kata-kata kesat sambil menuding jari ke arah poster Parti Tindakan Rakyat (PAP). 

Paul kemudian bertindak dengan melakukan kesalahan tersebut "disebabkan oleh kemarahannya" kerana mendapati tindakan individu itu "menyinggungkan perasaan dan tidak wajar", kata Cik Wong. 

Perbuatannya itu tidak didorong oleh sebarang niat untuk  mencemari kempen pilihan raya tersebut, tambah Cik Wong. 

Beliau bersetuju dengan usulan pihak pendakwa agar Paul didenda S$1,000, namun meminta hukuman penjara lebih singkat, iaitu selama empat hari kerana anak guamnya tidak mampu membayar denda tersebut.

Kata Cik Wong, Paul tidak mampu membayar denda tersebut. Dia menerima bantuan kewangan sebanyak S$450 sebulan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan mengalami keadaan fizikal dan psikiatri. 

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Selene Yap, tiada bukti yang menunjukkan mana-mana individu bercakap dengan Paul atau melemparkan kata-kata kesat, tetapi akur bahawa tiada bukti yang menunjukkan tindakannya itu bermotif politik. 

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana menanggalkan poster yang dipasang sebagai sebahagian daripada iklan Pilihan Raya Parlimen boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$1,000 di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita