Lelaki didenda S$5,000 padam dokumen majikan dari Google Drive selepas dipecat
Seorang lelaki naik berang selepas dipecat dari kerjanya dengan notis 24 jam, bertindak memadamkan 20 dokumen dari akaun Google Drive syarikat tersebut.
SINGAPURA: Seorang lelaki naik berang selepas dipecat dari kerjanya dengan notis 24 jam, bertindak memadamkan 20 dokumen dari akaun Google Drive syarikat tersebut.
Akibat perbuatannya itu, Tan Wei Chiang, 30 tahun, didenda S$5,000 di sebuah mahkamah daerah pada Selasa (7 Dis).
Dia mengaku bersalah atas dakwaan mengubah suai kandungan komputer tanpa kebenaran.
Syarikat itu berjaya mendapatkan semula kebanyakan dokumen tersebut yang penting bagi proses kerja dan penghasilan syarikat itu.
Gajinya dipotong S$1,500 sebagai ganti rugi bagi perbuatannya.
Tan bekerja sebagai pengurus pengeluaran daging di 786 SG sejak 10 Ogos tahun lalu dan bertanggungjawab menjaga jadual pengeluaran dan memeriksa mutu bahan mentah dan barang siap serta memastikan keperluan pelanggan dipenuhi.
Pada 4 Januari tahun ini, Tan meletak jawatan dan mula menjalani tempoh notis 30 hari.
Namun sekitar seminggu kemudian, penyelia Tan memberinya surat pemberhentian kerja kerana prestasi serta mutu kerjanya tidak memenuhi jangkaan syarikat itu.
Tan diberi notis 24 jam dan surat itu menyatakan dia akan menerima gaji pro-rata terakhirnya pada 31 Jan.
Tan menandatangani surat berkenaan pada hari yang sama, sebelum penyelianya meminta dia menyerahkan semua projek, butiran log masuk emel syarikat serta dokumen yang dimilikinya.
Ketika masih berada di pejabat syarikat itu, Tan menggunakan akaunnya untuk mengakses akaun Google Drive yang membenarkan pengguna menyimpan fail data dalam pangkalan Google.
Pada sekitar 6.30 petang, Tan memadamkan 20 dokumen syarikat. Dia kemudian memadamkan secara kekal 16 daripada dokumen dari "tong sampah" akaun berkenaan.
Lewat hari itu, penyelia Tan sedar tentang perbuatannya dan menghubungi kakitangan IT syarikat itu yang memaklumkannya bahawa tertuduh telah memadamkan dokumen-dokumen itu.
Mahkamah diberitahu bahawa syarikat itu "menghabiskan masa dan tenaga" untuk mendapatkan kembali dokumen-dokumen berkenaan.
Syarikat itu juga perlu menerangkan kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) bahawa ia tidak lagi mempunyai laporan pematuhan agensi itu, yang diperlukan semasa audit kilang dan terpaksa meminta rekod tersebut dari SFA.
Tan memberitahu pihak polis pada 20 Jan bahawa semua dokumen yang dipadam adalah miliknya, tetapi mengaku sekitar lima bulan kemudian bahawa dia tahu yang fail tersebut milik syarikatnya.
Hakim Daerah Kamala Ponnampalam memutuskan tindakan Tan yang "jelas didorong perasaan...marah" tidak boleh diterima.
Tan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali. Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.