Lelaki didenda S$2,000, bergaduh dengan pemandu yang potong jalan ke gantri tempat letak kereta
Seorang lelaki berusia 61 tahun didenda S$2,000 pada Isnin (15 Nov) kerana bergaduh dengan seorang lagi pemandu yang memotong jalannya di sebuah gantri tempat letak kereta.

Laluan masuk ke tempat letak kereta Albert Centre. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 61 tahun didenda S$2,000 pada Isnin (15 Nov) kerana bergaduh dengan seorang lagi pemandu yang memotong jalannya di sebuah gantri tempat letak kereta.
Koh Ah Lay, mengaku bersalah atas satu tuduhan bertengkar dengan seorang lelaki berusia 31 tahun di gantri tempat letak kereta dekat Albert Centre pada 28 November tahun lalu dan mengganggu ketenteraman awam.
Mahkamah diberitahu bahawa Koh bekerja sebagai pekerja penghantaran di sebuah kedai runcit di Albert Centre, dekat kawasan Bugis.
Pada kira-kira 3.30 petang, 28 November tahun lalu, Koh sedang menunggu gilirannya untuk memasuki gantri tempat letak kereta.
Ketika dia ingin membelok kiri ke arah gantri, tertuduh bersama, Hsu Yisong, membelok kanan dari arah bertentangan sekali gus memotong laluan kenderaan Koh.
Koh menekan hon berkali-kali menyebabkan Hsu keluar dari kenderaannya dan menghampiri kenderaan Koh.
Kedua-duanya kemudian bertekak tentang sama ada Hsu berhak memotong laluan kenderaan Koh.
Hsu pada awalnya berhenti bertengkar dengan memberitahu Koh supaya "laporkan kepada LTA", namun Koh melemparkan kata kesat dalam bahasa Hokkien.
Hsu menghempaskan pintu kenderaan Koh, lantas terkena kaki lelaki tersebut yang masih terjuntai di luar.
Koh yang merasa berang, sekali lagi keluar dari kenderaannya lalu mereka saling melepaskan tumbukan di jalan raya dengan disaksikan ramai orang yang lalu lalang di sekitar kawasan itu.
Satu aduan polis dibuat dan kedua-dua lelaki diberkas. Koh kemudian mendapatkan rawatan perubatan dan didiagnos dengan lebam di kakinya.
Pihak pendakwa pada Isnin memohon denda antara S$2,500 dengan S$3,000 sambil berkata bahawa Koh menyebabkan pertikaian itu berlarutan dengan melemparkan kata kesat dalam bahasa Hokkien.
Pergaduhan itu berlaku di khalayak ramai semasa waktu sibuk di lalu lintas yang sibuk, katanya.
Pihak pembela berkata tertuduh bersama, Hsu, yang bertindak kasar dan anak guamnya berusia 61 tahun. Hakim menarik perhatian bahawa kedua-dua lelaki itu terbabit dengan tindakan ganas namun turut mengambil kira bahawa Hsu yang memulakan pergaduhan itu.
Bagi kesalahan terlibat dalam satu pergaduhan, Koh boleh dihukum penjara sehingga setahun dan didenda sehingga S$5,000. Kes Hsu masih menanti perbicaraan mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.