Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didenda gara-gara curi telefon bimbit yang tertinggal di S'pore Pools

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda gara-gara curi telefon bimbit yang tertinggal di S'pore Pools
Diterbitkan : 21 Dec 2021 04:49PM Dikemas Kini : 21 Dec 2021 04:50PM

SINGAPURA: Semasa membeli tiket loteri di Singapore Pools yang terletak di sebuah pusat beli-belah, seorang pekerja penghantaran terjumpa sebuah telefon bimbit, yang tertinggal, milik seorang individu lain lalu mengambilnya.

Pekerja penghantaran bernama Tan Khew Hai itu, hari ini (21 Dis) didenda S$2,000 atas kesalahannya. Lelaki berusia 58 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan menyalahgunakan telefon bijak yang dijumpainya dengan niat untuk kegunaan peribadi secara tidak jujur

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, iaitu wanita berumur 54 tahun, pergi ke pasaraya UStar Mega Mart di Blok 817, Keat Hong Link pada 23 Disember tahun lalu.

Beliau membeli tiket loteri daripada Singapore Pools dan meletakkan telefon bimbit Samsung Note 20 Ultra 5G berwarna emas ros (rose gold) di kaunter.

Apabila mangsa meninggalkan kaunter itu, beliau terlupa untuk mengambil telefon bimbit tersebut bersamanya.

Tan juga sedang membeli tiket loteri apabila dia ternampak telefon bimbit mangsa. Dia kemudian mengambil telefon bimbit itu, walaupun sedar ia bukan miliknya. Malah dia juga cuba untuk menggunakan telefon bimbit.

Tan kemudian mengambil telefon bimbit itu bersamanya dan memandu keluar dari lokasi. Dia tidak membuat percubaan untuk menjejak tuan milk alat itu dan tidak ada sebarang niat untuk memulangkan telefon bimbit itu.

Mangsa kembali ke kaunter 10 minit kemudian tetapi tidak berhasil menemui telefon bimbitnya. Anak perempuan mangsa membuat aduan polis secara online dan Tan berjaya dikesan. Namun, telefon bimbit itu masih lagi tidak dijumpai.

Pendakwa raya meminta denda sekitar S$2,000 kerana Tan mempunyai sejarah melakukan kesalahan berkaitan perbuatan tidak jujur.

Pada tahun 1994, Tan dipenjarakan selama enam minggu atas kesalahan mencuri dan menipu. Dia dipenjarakan lagi pada 2003 atas kesalahan pemalsuan. Meskipun kes-kes itu sudah berlalu, pihak pendakwa berkata Tan melakukan perbuatan tidak jujur lebih daripada sekali dan belum lagi memulangkan telefon kepada pemiliknya.

Atas kesalahan menyalahgunakan telefon bijak yang dijumpainya dengan niat untuk kegunaan peribadi secara tidak jujur, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan