Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didenda, dera pemandu teksi ketika mabuk dan tidak memakai pelitup

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda, dera pemandu teksi ketika mabuk dan tidak memakai pelitup

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mendera seorang pemandu teksi secara fizikal ketika tidak memakai pelitup dan dalam keadaan mabuk didenda S$2,000 pada Selasa (15 Mac). 

Rakyat Australia Francis Dion James yang berusia 51 tahun mengaku bersalah atas satu tuduhan mendera seorang pekerja khidmat awam. Dua lagi tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan. 

Pemandu teksi itu, Purvis Tay, 48 tahun, sedang menunggu penumpang yang telah menempah teksinya pada kira-kira 8.55 malam, 4 Jun lalu di luar Asia Square Tower 1.

Dion James yang bekerja sebagai jurutera kapal layar pada waktu kejadian, menaiki teksi tersebut dan enggan turun meskipun diminta untuk berbuat sedemikian. 

Mahkamah diberitahu bahawa pemandu tersebut menghubungi polis untuk meminta bantuan. Pada masa yang sama, penumpang yang betul membatalkan tempahannya. 

Encik Tay memberitahu polis: "Ada orang mabuk dalam teksi saya. Dia tidak sepatutnya berada di sini kerana dia tidak menempah khidmat teksi ini." 

Semasa menantikan polis tiba, tertuduh menolak mangsa dan menghemburkan kata-kata kesat kepada Encik Tay. 

Dalam satu rakaman CCTV, Dion James dilihat tidak memakai pelitup dengan betul ketika kejadian. 

Mahkamah diberitahu bahawa Dion James enggan mematuhi arahan polis apabila mereka tiba. Tingkah lakunya kelihatan kurang stabil, mukanya merah dan berbau minuman keras yang kuat. 

Ketika membuat rayuan, peguam pembela Dion James berkata bahawa anak guamnya mengaku bersalah dengan cepat dan berasa kesal atas kejadian tersebut. 

Disebabkan perbicaraan berhubung kesalahan tersebut, Dion James terpaksa melepaskan beberapa peluang pekerjaan dan juga kelahiran cucunya, tambah peguam itu. 

Dion James juga sudah membayar wang pampasan dan menulis surat meminta maaf kepada mangsa, katanya lagi. 

Pihak pendakwa mengesahkan mangsa sudah menerimanya dan memaafkan tertuduh. 

Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan mengenakan denda S$2,000 dengan hukuman penjara dua minggu jika Dion James gagal membayar denda tersebut. 

Atas kesalahan mendera pekerja khidmat awam yang sedang menjalankan tugasnya, Dion James boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan