Lelaki didenda $3,000; tidak pulangkan iPhone dijumpainya
Seorang lelaki menjumpai iPhone bernilai S$1,000 di kawasan rumput berhampiran sebuah blok HDB di Ang Mo Kio lalu membawanya pulang dan tidak memulangkan telefon itu kepada pemiliknya.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Seorang lelaki menjumpai iPhone bernilai S$1,000 di kawasan rumput berhampiran sebuah blok HDB di Ang Mo Kio lalu membawanya pulang dan tidak memulangkan telefon itu kepada pemiliknya.
Pemiliknya, yang kehilangan telefon bimbit itu setelah ia terjatuh daripada beg pinggang yang tidak dizip, membuat aduan polis sehingga tertuduh akhirnya berjaya dijejaki.
Pada Khamis (10 Sep), Tan Yiap Ming yang berusia 30 tahun dikenakan denda S$3,000 di mahkamah atas penyelewengan tidak jujur.
Mahkamah diberitahu bahawa pemilik telefon berkenaan, Encik Wang, sedang berjalan di sekitar estet perumahan Ang Mo Kio dengan iPhone XR itu disimpan dalam beg pinggangnya pada 14 Dis tahun lalu.
Ketika beliau sedang melalui kawasan berhampiran Blok 202 di Ang Mo Kio Avenue 3, telefon bimbit Encik Wang terjatuh dari begnya, yang tidak dizip ketika itu.
Sekitar 10 minit kemudian, Tan yang berada di tempat yang sama dan ternampak telefon bimbit itu di kawasan rumput berkenaan, terus mengambilnya.
Encik Wang yang menyedari bahawa telefon bimbitnya hilang kemudian membuat aduan polis.
Pihak berkuasa mendapati terdapat beberapa percubaan untuk menghidupkan telefon bimbit itu dan polis berjaya mengesannya pada Tan.
Para pegawai polis menemui telefon bimbit itu di rumah Tan pada 12 Mac, iaitu sekitar tiga bulan selepas ia dilaporkan hilang. Tan tidak berusaha untuk menjejaki pemilik telefon bimbit tersebut dan dia juga tidak menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Pihak pendakwa memohon hukuman denda sekurang-kurangnya S$3,000, sambil mengatakan bahawa Tan mempunyai kesalahan silam melakukan penyelewengan pada 2019 dan mencuri pada 2010.
Pada awalnya, Tan berkata bahawa dia mahu memulangkan telefon itu namun tidak mempunyai masa, dan dia takut untuk ke balai polis. Dia juga berkata bahawa dia cuba mengakses telefon bimbit itu bagi mengenal pasti pemiliknya namun tidak dapat berbuat demikian. Namun, dia menarik balik kenyataannya itu setelah diberitahu bahawa ia mewajarkan rayuannya.
Pihak pendakwa berkata siasatan menunjukkan Tan menghubungkan telefon bimbit itu dengan rangkaian WiFi di rumahnya. Tan sebelum ini memberi keterangan yang bercanggah berhubung mengapa dia tidak memulangkan telefon bimbit itu kepada para penyiasat, di mana dia mengatakan bahawa dia berasa takut untuk berbuat demikian disebabkan oleh kesalahan silamnya.
Tan berkata dia kini bekerja di sebuah bilik stor gudang dan tidak mahu mengatakan apa-apa dalam rayuannya.
Hakim Daerah Jasvender Kaur berkata Tan dihadapkan ke mahkamah buat kali ketiga atas kesalahan bertindak dengan cara yang tidak jujur dan dia dibimbing oleh seorang kaunselor pada 2010 namun dia tidak meraih tetapi masih belum serik.
"Dalam kehidupan, terdapat banyak godaan" katanya. "Anda ternampak sesuatu di atas lantai, anda mahu mengambilnya, tetapi anda tidak seharus mengambilnya. Itu hakikatnya. Jika anda dihadapkan ke mahkamah buat kali keempat, anda mesti dipenjarakan, adakah itu jelas? Jadi jangan tergoda."
Tan mengesat air matanya apabila mendengar kata-kata Cik Kaur dan bersetuju dengan nasihat itu.
Dia dibenarkan membayar denda secara ansuran sebanyak S$1,000.
Bagi kesalahan melakukan penyelewengan tidak jujur, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.