Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didapati bersalah bunuh bayi 9 bulan di Yishun; berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 29 tahun didapati bersalah pada Rabu (13 Jul) atas tuduhan membunuh selepas hakim Mahkamah Tinggi menolak dakwaannya bahawa kepala anak lelaki teman wanitanya terhentak
selepas mangsa jatuh daripada pelukannya.

Mohamed Aliff Mohamed Yusoff yang menyangkal tuduhan membunuh, kini berdepan sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan rotan di bawah Seksyen 300(c) Kanun Jenayah.

Peguam bela memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya faham bahawa pihak pendawa raya tidak berhasrat untuk mengusulkan hukuman mati.

Aliff belum dijatuhkan hukuman dan akan kembali ke mahkamah pada tarikh yang belum ditetapkan.


Pada Rabu (13 Jul), Hakim Mavis Chionh mendapati Aliff sengaja menghentak kepala Izz Fayyaz Zayani Ahmad yang berusia sembilan bulan di atas papan lantai vannya sekurang-kurangnya dua kali pada malam 7 November 2019.
Aliff mendakwa kononnya Izz meronta dan jatuh dari pelukannya dan kepala mangsa terhentak papan lantai vannya sebelum mangsa jatuh ke lantai tempat letak kereta bertingkat di Blok 840A Yishun Street 81.

Dia kemudian bertemu dengan ibu mangsa, Cik Nadiah Abdul Jalil, sekitar 12.00 tengah malam.

Mereka memandu tanpa arah tujuan di kawasan tersebut sebelum wanita itu menoleh dari tempat duduk penumpang hadapan dan mendapati anaknya terbaring menghadap ke bahagian belakang van berkenaan.

Aliff kemudian mencadangkan supaya mereka mengupah seseorang untuk mengebumikan jenazah mangsa dan melaporkan seolah-olah bayi itu hilang setahun kemudian, namun Cik Nadiah enggan berbuat demikian.

Aliff juga melengah-lengahkan usaha ibu Izz untuk membawa bayinya ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut hakim.

"Kelakuan tersebut konsisten dengan seseorang yang tahu dia bersalah setelah menyedari dia menyebabkan kematian Izz dan takut perkara itu akan terbongkar," kata Hakim Chionh.

"Kesimpulan yang paling wajar adalah dia sengaja menyebakan kecederaan pada kepala Izz dengan menghentak kepala mangsa di papan lantai van," kata Hakim Chionh.

Hakim juga mendapati bahawa Cik Nadiah yang turut memberikan keterangan semasa perbicaraan kes itu adalah saksi yang boleh dipercayai dan telah bercakap benar.

Seorang pakar psikiatri dari Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati bahawa Aliff waras ketika itu dan tidak mengalami sebarang gangguan mental atau kurang daya intelek.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan