Lelaki didakwa serang pemandu bas, SBS Transit kata tertuduh naiki bas tanpa pelitup
Seorang lelaki didakwa pada Khamis (17 Sep) kerana menyerang seorang pemandu bas dan membawa sebilah pisau ketika menaiki bas di Pasir Ris.
Seorang pemandu bas SBS Transit berusia 39 tahun diserang penumpang, (Gambar: Facebook/SBS Transit)
SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Khamis (17 Sep) kerana menyerang seorang pemandu bas dan membawa sebilah pisau ketika menaiki bas di Pasir Ris.
Menurut SBS Transit, pertelingkahan berlaku kerana tertuduh dipercayai tidak memakai pelitup.
Ja'afally Abdul Rahim, 52 tahun, didakwa atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap Encik Low Kok Weng pada sekitar pukul 2.50 petang pada 15 Sep dalam bas nombor 21 dekat Pasir Ris Drive 1.
Dia dikenakan satu lagi tuduhan memiliki senjata berbahaya - sebilah pisau sepanjang enam sentimeter dan bahagian pemegang sepanjang enam sentimeter - di dalam bas.
SBS Transit menyatakan mangsa, seorang kapten bas, diserang "selama 12 minit".
Ja'afally menaiki bas berkenaan tanpa memakai pelitup dan menggunakannya hanya selepas dia berada dalam kenderaan itu, menurut SBS Transit dalam catatan Facebook pada Rabu (16 Sep).
Dia kemudian melontarkan kata-kata kesat kepada kapten bas berkenaan, menurut SBS Transit. Dia meneruskan perbuatan itu untuk kira-kira dua lagi perhentian bas sehingga pemandu bas tiba di sebuah perhentian lalu menanti untuk ketibaan polis, yang telah dimaklumkan tentang kes berkenaan, menurut SBS Transit.
Sebelum polis tiba, lelaki itu menyerang kapten bas tersebut serta mencengkam bahagian leher dan kolar bajunya, menurut SBS Transit.
Tiga lelaki yang berada di perhentian bas campur tangan dan menahan tertuduh ke lantai hingga polis tiba tidak lama kemudian, menurut SBS Transit.
Kapten bas itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan diberikan cuti sakit selama tiga hari.
"Kami bersyukur beliau tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Beliau terganggu namun tetap bersemangat," kata pengendali bas itu. SBS Transit juga mengucapkan terima kasih kepada tiga lelaki yang "tampil ke hadapan dengan berani" untuk membantu.
SBS Transit menambah kes itu bukan kes terpencil, dengan "beberapa" kapten bas "diserang" dalam beberapa bulan lalu "berkaitan penguatkuasaan peraturan ketat memakai pelitup".
"Ini menjijikkan. Dan ia mesti dihentikan," kata SBS Transit.
Ja'afally akan dihadapkan semula ke mahkamah pada bulan depan. Jika didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.
Jika didapati bersalah memiliki senjata berbahaya, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun. Dia tidak boleh dikenakan hukuman wajib sebatan sekurang-kurangnya enam kali kerana berusia lebih 50 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.