Lelaki didakwa selepas hantar emel ancaman bom palsu kepada PM Wong, sasar Bangunan Parlimen
Seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (9 Jul) kerana disyaki membuat dua ancaman bom palsu yang menyasarkan Bangunan Parlimen dan pejabat Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).
Bangunan Mahkamah Negara. (Gambar fail: CNA/Ili Mansor)
Koh Jye Shyang dituduh menghantar ancaman bom palsu menerusi borang FormSG kepada HTX pada 3 Julai sekitar pukul 1.30 petang.
Menurut dokumen mahkamah, dia dikatakan mengirim mesej yang berbunyi: “Terdapat bom di bangunan Agensi Sains dan Teknologi Home Team di 1 Stars Avenue, #12-01, Singapura 138507. Sila kosongkan bangunan itu dengan segera.”
HTX kemudian membuat aduan polis berhubung kejadian tersebut. Agensi itu terletak di tingkat 12, 1 Stars Avenue, yang turut menempatkan Mediacorp.
Beberapa hari kemudian, sekitar pukul 3.00 petang pada 6 Julai, Koh dikatakan menghantar emel kepada Perdana Menteri Lawrence Wong dengan mesej berikut: “Terdapat bom yang diletakkan di Bangunan Parlimen di 1 Parliament Place, Singapura 178880. Sila kosongkan bangunan itu dengan segera.”
Polis mengesahkan pihaknya menerima aduan bahawa satu emel tanpa nama dihantarkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang menyatakan bahawa satu bom diletakkan di Bangunan Parlimen.
Polis menjalankan pemeriksaan rapi di kedua-dua lokasi, termasuk pemeriksaan menyeluruh di kawasan bangunan dan sekitarnya, namun tidak menemukan sebarang "objek yang menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan".
Pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Divisyen Polis Central kemudian mendapati kedua-dua ancaman itu dipercayai dihantar oleh individu yang sama.
Lelaki itu diberkas pada Selasa, dan polis merampas beberapa peranti elektronik yang dipercayai digunakan untuk membuat ancaman tersebut.
Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.
Pihak pendakwa memohon supaya Koh direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, manakala Koh memohon untuk dibebaskan dengan ikat jamin bagi membolehkannya mendapatkan khidmat peguam.
Dia turut mengatakan bahawa seorang pakar keselamatan siber dari San Francisco sedang berada dalam perjalanan ke Singapura untuk mengesahkan sama ada terdapat sebarang masalah pada komputernya, dan memohon ikat jamin bagi memudahkan pemeriksaan tersebut.
Hakim Daerah Brenda Tan membenarkan permohonan pihak pendakwa dan memaklumkan kepada Koh bahawa permohonannya untuk diikat jamin akan dipertimbangkan apabila dia kembali dihadapkan ke mahkamah pada 16 Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.