Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didakwa selepas dipercayai kejar lelaki lain dengan pedang katana

Seorang lelaki yang dipercayai mengejar seorang lagi lelaki sambil memegang pedang katana didakwa di mahkamah hari ini kerana memiliki senjata berbahaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa selepas dipercayai kejar lelaki lain dengan pedang katana

Polis merampas pedang katana sepanjang 73 sentimeter daripada but keretanya. (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang dipercayai mengejar seorang lagi lelaki sambil memegang pedang katana didakwa di mahkamah hari ini (8 Jul) kerana memiliki senjata berbahaya.

Kenneth Tan Hong Chang, 27 tahun, sebelum ini juga didakwa atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan replika pedang samurai yang diperbuat daripada gabus dalam insiden berasingan.

Polis menyatakan sekitar pukul 2.20 pagi pada Khamis (7 Jul), pihaknya menerima panggilan meminta bantuan, di mana seorang lelaki dikatakan memegang pedang dan mengejar seseorang.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Polis mengenal pasti identiti lelaki tersebut melalui pertanyaan di lapangan dan rakaman kamera polis dan kemudian menangkapnya.

Polis merampas pedang katana sepanjang 73 sentimeter, dengan bilah pisau sepanjang 49 sentimeter, daripada but keretanya.

Menurut kertas-kertas dakwaan, insiden tersebut berlaku antara Blok 692 dengan 695 Hougang Street 61.

Tan sebelum ini didakwa dengan menggunakan replika pedang yang diperbuat daripada gabus untuk melakukan ugutan jenayah bersama lagi dua lelaki, iaitu Fu Yiming dan Jeremy Ong Kian Song.

Dia dituduh memegang pedang itu sementara Fu memekik ke arah dua individu supaya melutut dan memohon maaf.

Pedang samurai replika itu berbilah gabus sepanjang 66 sentimeter dan disyaki kepunyaan Tan.

Kesalahan itu dikatakan berlaku sekitar pukul 6.10 pagi pada 10 Mac 2022, di sebuah blok apartmen di Soon Lee Street.

Tan akan kembali hadir ke mahkamah lewat bulan ini. Fu sebelum ini juga didakwa atas kesalahan melakukan ugutan jenayah bagi insiden serupa.

Memiliki senjata berbahaya membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dari enam sebatan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan