Lelaki didakwa salah guna wang untuk bina rumah berjumlah S$2.3 juta
(Gambar fail: Jeremy Long/CNA)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun didakwa di mahkamah pada Jumaat (17 Mac) kerana menyalahgunakan wang bagi pembinaan sebuah rumah, berjumlah sekurang-kurangnya S$2.3 juta.
Per Poh Huat dituduh mengambil wang itu antara 13 Mac dengan 4 Disember 2019.
Jumlah itu telah dimasukkan ke dalam akaun United Overseas Bank miliknya melalui lapan keping cek.
Mangsa yang dinamakan dalam tuduhan ialah Encik Lim Bee Huat.
Polis menyatakan, pada 29 Disember 2022, pihaknya menerima laporan kes mangsa menyerahkan sejumlah besar wang kepada seorang lelaki untuk membayar kos membina rumahnya.
Antara 2016 dengan 2021, mangsa mengeluarkan cek berjumlah sekurang-kurangnya S$8 juta atas permintaan lelaki itu.
Namun pada 2021, kerja-kerja binaan terhenti dan terbengkalai.
Mangsa mengesyaki lelaki itu telah menyalahgunakan wang pembayaran tersebut lalu membuat laporan polis.
Polis menyatakan, seorang lagi lelaki berusia 47 tahun sedang membantu siasatan.
Per dibebaskan dengan ikat jamin S$200,000 dan akan kembali di mahkamah bagi semakan wang ikat jamin pada 21 Mac.
Jika didapati bersalah melakukan pecah amanah jenayah, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.